'Berakhir sudah derita Afina Sofea'

Iklan
Nor Adibah di samping Tuan Nur Afina Sofea semasa hayatnya di rumah mereka di Kampung Nail, Kuala Besut di Terengganu.

BESUT -"Tiga tahun dia berjuang melawan kanser, hari ini dia 'pergi'. Berakhir sudah penderitaan Afina," demikian luah ibu kepada kanak-kanak yang menderita barah saraf atau neuroblastoma tahap empat, Tuan Nur Afina Sofea Tuan Khalid, 9.

Nor Adibah Ahmad, 42, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu menghembuskan nafas terakhir tepat jam 12.35 tengah malam tadi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tahap oksigen Afina Sofea mula menurun dan kanak-kanak itu mengalami sesak nafas pada Khamis sebelum dikejarkan ke Hospital Jertih di sini.

"Petang semalam dalam jam 4 petang kami bawa dia ke unit kecemasan hospital sebab tahap oksigen dia 'drop'. Bila dah pakai alat bantuan pernafasan tu oksigen dia normal semula cuma nafas laju dan tak stabil.

Iklan

"Bila doktor buat ujian X-ray baru nampak ada kesan tompokan hitam besar dekat bahagian hati dia. Rupanya ada kanser baru merebak ke situ. Sebelum ini doktor dah beritahu cuma kita tak tahu keadaan bagaimana.

"Disebabkan tak nak tahan wad, kami bawa dia pulang ke rumah dengan bergantung kepada alat bantuan pernafasan wakaf dari masjid di sini," katanya.

Iklan

Ibu kepada empat anak dari Kampung Nail, Kuala Besut itu berkata, Afina menunjukkan beberapa perubahan sebelum meninggal dunia.

Katanya, selepas pulang ke rumah, anaknya langsung tidak dapat tidur, gelisah dan tidak dapat bernafas dengan baik sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisinya dan suami.

"Waktu tengah sakit tu Afina ada nak bagi tahu sesuatu tetapi tak terluah. Saya faham mungkin itu kata-kata terakhir dari dia kepada saya namun tak sampai kepada saya.

"Tak apalah, saya ada beritahu dia, tak apalah kalau adik tak boleh bercakap lagi. Mama pasrah dan reda segala-galanya untuk Afina," ujarnya.

Katanya, Afina Sofea selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar di sini, jam 2.30 petang pada Jumaat.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kanak-kanak bijak dan petah berkata-kata, Afina Sofea disahkan menghidap kanser saraf sejak November 2020.

Bagaimanapun, tahap kesihatannya semakin merosot pada pertengahan tahun ini.