SUBANG JAYA - Rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) terus memperkasa usahawan tempatan dan mempromosi produk keluaran mereka menerusi pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023.
Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, Mydin sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) baharu bagi memasarkan produk mereka di pasar raya itu.
Katanya, usahawan perlu menepati kriteria-kriteria yang telah digariskan selain Mydin juga bersedia untuk memberi bimbingan dan latihan sekiranya mereka perlukan.
"Pihak kami menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 30 peratus bagi produk IKS bagi tahun 2024.
"Setakat ini seramai 250 usahawan tempatan telah memasarkan produk mereka di rangkaian kami dengan bilangan lebih 2,000 jenis produk. Pihak kami juga menyediakan rak khas bagi mempromosi dan memastikan produk mereka mudah dikenal pasti pelanggan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran KBBM 2023 yang disempurnakan Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Rohaizi Bahari di Mydin Subang Jaya, pada Jumaat.
Pelbagai promosi hebat dan aktiviti menarik dirangka sepanjang kempen berlangsung antaranya promosi produk keluaran IKS seperti makanan, minuman, barangan keperluan masakan, barangan dapur dan banyak lagi.
Mydin dalam pada itu turut menganjurkan Karnival Jualan 'Bangga Buatan Lokal' bagi mempromosi dan memperkenalkan produk-produk tempatan dari jenama yang terlibat di Mydin selama empat hari bermula Selasa lalu.
Bagi memberi peluang perniagaan kepada usahawan baharu, Mydin dengan kerjasama MBSB Bank Berhad dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) turut menganjurkan peraduan 'Pitch to Win' pada Rabu lepas.
Peraduan yang memberikan peluang usahawan baharu bersaing merebut hadiah pakej pemasaran bernilai sehingga RM200,000 selain peluang kemasukan produk secara percuma di seluruh cawangan Mydin itu menyaksikan syarikat pengeluar produk organik dan semulajadi untuk bayi dan kanak-kanak, Gnubkins Sdn Bhd muncul juara.
Turut berlangsung pada Rabu lalu seminar keusahawanan 'Bangga Buatan Lokal' yang disertai lebih 200 usahawan tempatan yang bertujuan memberi latihan serta bimbingan oleh pakar-pakar industri kepada usahawan IKS.
Pada majlis sama, Mydin turut menghadiahkan trofi anugerah kepada pemain industri IKS yang cemerlang dan berjaya dalam perniagaan mereka sebagai pengiktirafan kepada usaha keras mereka sepanjang menjadi rakan pembekal pasar raya tersebut.
Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai kempen berkenaan, orang ramai boleh mengunjungi laman media sosial atau laman sesawang rasmi Mydin Malaysia di www.mydin.my.