KEJAYAAN atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Asia Hangzhou 2022 dalam acara ILCA 6 wanita di Tasik Dongqian dua hari lalu mendapat perhatian Pemangku Raja Pahang,Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khairrizal Ab Rahman berkata, baginda menzahirkan setinggi-tinggi tahniah dan bangga atas kejayaan atlet itu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, Nur Shazrin mewakili pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Pahang sejak tahun 2012 sebelum diserap ke dalam pasukan kebangsaan pada 2017.
"Baginda juga menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet pelayaran itu apabila layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal bertitah semoga kemenangan dikecapi Nur Shazrin itu menyuntik semangat kepada atlet-atlet negara untuk terus berusaha menambah pungutan pingat untuk kontinjen negara dalam temasya sukan itu.