TIADA yang lebih mengembirakan bagi seorang ibu apabila melihat impian anaknya, Nur Shazrin Muhammad Latif untuk meraih pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022, tercapai.
Ibu Nur Shazrin, Rosni Ab Rahman, 56, berkata, pengorbanan beliau dan suaminya Muhammad Latif Suhadi, 56, yang menetap di Pekan, Pahang, yang sebelum ini bersusah payah menghantar Nur Shazrin ke tempat latihan setiap minggu, membuahkan hasil membanggakan apabila anak gadisnya itu berjaya merangkul emas pada temasya sukan berprestij itu.
Berkongsi perjalanan karier anaknya, Rosni berkata, ketika Nur Shazrin di bangku sekolah lagi, beliau dan suaminya yang membuat kerja-kerja kampung, mengorbankan hari bekerja pada setiap Sabtu dan Ahad untuk menghantar anaknya itu ke lokasi latihan di Pantai Balok, Pahang yang mengambil masa kira-kira dua jam dari rumah menaiki motosikal atau bas.
"Kami orang susah, tapi saya dan suami memang buat apa sahaja untuk pastikan anak kami dapat latihan secukupnya buat Shazrin, kadang-kadang kami sekeluarga terpaksa naik motosikal atau bas dan saya perlu bawa adik Shazrin sebab tiada yang menjaga di rumah.
"Perjalanan jauh, jadi memang kami korbankan hari minggu tidak bekerja untuk hantar beliau, dan kami buat perkara itu hingga Shazrin diterima masuk ke program Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Ibu kepada lima anak itu berkata, Nur Shazrin sering membuat panggilan video dengannya setiap hari terutamanya setelah beliau memenangi pingat emas di Hangzhou baru-baru ini, dan beliau pula sering mendoakan kejayaan anak ketiganya untuk menyinar pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Terdahulu, Rosni dan keluarganya menyambut kepulangan Nur Shazrin yang baru tiba dari Hangzhou, China di KLIA petang ini.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (PPM), Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihak persatuan akan mempertimbangkan untuk memberi pelayar berusia 25 tahun itu ganjaran khas sebagai tanda penghargaan kepadanya dan atlet negara yang cemerlang di persada antarabangsa.
"Kita berbangga dengan pencapaian yang dilakukan pasukan pelayaran Malaysia, dan kita akan pastikan Nur Shazrin dan atlet yang menyumbang pingat, diberikan sokongan penuh untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.
Skuad pelayaran negara berjaya merangkul satu pingat emas menerusi Nur Shazrin dalam acara ILCA 6 wanita dan dua pingat gangsa melalui Muhammad Anawi Iqbal Adam acara ILCA4 lelaki dan Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen acara Windsufring RSX wanita.
Ia merupakan pingat emas pertama negara pada edisi Sukan Asia Hangzhou 2022 ini. - Bernama