Sukarelawan polis ditahan buat komen mengaibkan di Facebook

Iklan
Seorang sukarelawan polis ditahan pada malam Khamis, selepas disyaki meninggalkan komen bersifat mengaibkan dalam satu hantaran di Facebook. - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Seorang sukarelawan polis ditahan pada malam Khamis, selepas disyaki meninggalkan komen bersifat mengaibkan dalam satu hantaran di Facebook.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan itu dibuat susulan laporan polis yang diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Iklan
Iklan

"Laporan polis dibuat seorang pegawai kanan polis yang menemui satu hantaran yang ditularkan pada kira-kira jam 10.22 Khamis malam.

"Terdapat satu komen dibuat seorang pemilik akaun yang merujuk kepada seseorang atau individu dipercayai bermotif mengaibkan dan keterlaluan di dalam hantaran tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut Kamarul Zaman, semakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dibuat bagi siasatan lanjut ke atas pemilik akaun terbabit.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati suspek berusia 39 tahun itu berkhidmat di Mersing.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955," ujarnya.

Sebelum itu, tular satu hantaran di Facebook yang menjadi trend terkini bertanyakan mengenai apa yang terlintas di fikiran apabila menyebut tentang sesuatu nama.

Berdasarkan hantaran tular itu, ia bertanyakan tentang 'Bila sebut Madani, apa yang terlintas di fikiran anda'.

Suspek kemudian dilihat meninggalkan komen bersifat mengaibkan yang dipercayai ditujukan kepada seseorang.

Bagaimanapun, komen itu dipercayai sudah dipadam.