Maritim rampas lebih 3 tan hasil laut spesies terancam di Kudat

Iklan
Maritim Malaysia merampas pelbagai hasil laut spesies terancam susulan penahanan dua bot pancing di kawasan perairan Barat Laut Mengayau, Rabu lalu. - Foto Maritim Malaysia

KUDAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas pelbagai hasil laut spesies terancam lebih 3,000 kilogram (kg) susulan penahanan dua bot pancing di kawasan perairan Barat Laut Mengayau dekat sini, Rabu lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, dua bot berkenaan dikesan Kapal Marin (KM) Ikhlas yang melaksanakan operasi sekitar jam 12.35 tengah hari di lokasi tersebut, hasil maklumat risikan.

Iklan
Iklan

Katanya, pemeriksaan terhadap bot pertama menemukan ikan buntal seberat 630kg, kerang kering kima (1,368kg), penyu kering (865kg), siput kering kahanga (30kg), kuda laut (6kg), dan hasil laut lain antaranya sirip ikan yu serta ikan beku maming napoleon.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap bot kedua pula menemukan ikan buntal kering (375kg) dan kerang kering kima (100kg).

Iklan

"Dua individu warga Filipina dan seorang warga Indonesia didapati mengendalikan bot pertama berumur 37 hingga 52 tahun, manakala bot kedua dikendalikan dua warga tempatan masing-masing berumur 50 dan 57 tahun serta seorang lagi warga Filipina berumur 45 tahun.

"Semua suspek, bot dan barang rampasan ditahan serta dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi tindakan selanjutnya. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Maurice berkata, kes disiasat di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, Akta Perikanan 1985, Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana disyaki memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.

"Kes itu juga disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 dan Peraturan-peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2006 awak-awak yang gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. - Bernama