IMT-GT rekod nilai dagangan AS$727 billion pada 2022 - Rafizi

Iklan
Rafizi - Foto Bernama

JAKARTA - Pertumbuhan Segitiga subwilayah Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) merekodkan nilai dagangan AS$727 bilion pada 2022 berbanding AS$618 bilion (AS$1=RM4.69) yang dicatatkan pada 2021, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Kemajuan yang membanggakan adalah dalam sektor pertanian, memfokuskan pada meningkatkan keselamatan makanan melalui amalan pertanian pintar dan penggunaan teknologi baharu.

Iklan
Iklan

Rafizi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri IMT-GT ke-29 yang diadakan di Batam, Kepulauan Riau, Indonesia pada Jumaat yang dipengerusikan oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto.

"Menteri-menteri pada mesyuarat itu menyatakan keperluan untuk inisiatif bersama dan kerjasama lebih erat untuk mengukuhkan sistem makanan berdaya tahan, sejajar dengan prinsip ekonomi pusingan, biru dan hijau,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan Thailand Julapun Amornvivat, dan wakil dari Bank Pembangunan Asia dan Sekretariat ASEAN.

Semasa mesyuarat itu, para menteri mengiktiraf kemajuan dalam sektor halal, mengalu-alukan inovasi seperti rantaian blok halal, sistem pendaftaran halal dalam talian, dan sistem maklumat bersepadu halal.

Iklan

Mereka juga memuji pemulihan progresif sektor pelancongan subwilayah itu, termasuk perkembangan dalam projek penyambungan fizikal dan rangka kerja perdagangan dan pelaburan.

Para menteri mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh IMT-GT UNINET dalam menghubungkan kepakaran akademik dan penyelidikan, dan mereka menggalakkan kerjasama daripada Majlis Perniagaan Bersama IMT-GT untuk meneroka peluang perniagaan.

Rafizi menekankan bahawa Malaysia menyokong usaha mempercepatkan penyelesaian Rangka Kerja Kerjasama IMT-GT mengenai Imigresen Kastam dan Kuarantin dan pemeteraian Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Minyak Sawit.

Beliau juga berkata, bahawa menteri-menteri terbabit telah menyatakan penglibatan mereka pada Mesyuarat Menteri-menteri IMT-GT ke-30 dan mesyuarat berkaitan di Johor, Malaysia tahun depan.

Malaysia mengesahkan komitmennya terhadap kerjasama subwilayah, menekankan dedikasinya untuk menggalakkan pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan, dan kemakmuran bersama, katanya. - Bernama.