Bazar Ramadan Jalan Raja 'banjir' pula

Iklan
Masih ada pengunjung yang datang walaupun bazar dilanda banjir kilat.

KUALA LUMPUR - Belum pun reda isu operasi Bazar Ramadan Jalan Raja kurang sambutan, timbul pula masalah lain apabila kawasan tapak bazar berkenaan dilanda banjir kilat hari ini.

Hujan lebat kira-kira jam 8.30 malam tadi mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 lot tapak terjejas berikutan air naik sehingga paras buku lali dan hanya surut selepas kira-kira 20 minit.

Iklan
Iklan

Wakil peniaga, Azkhalim Suradi, 47, berkata longkang tersumbat dan kawasan yang agak rendah menyebabkan aliran air menjadi perlahan dan membuatkan air bertakung di kawasan tapak fasa satu, berhampiran Galeri Kuala Lumpur.

"Ini baru hujan lebat setengah jam. Kalau hujan lebat dua jam, tak tahu macam mana. Kawasan fasa satu agak rendah berbanding fasa dua (depan Panggung Bandaraya).

Iklan
Perniagaan terhenti seketika apabila air naik sehingga paras buku lali.

"Kami ada group WhatsApp termasuk peniaga-peniaga Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) ramai yang mengeluh dan ada juga yang simpati. Dah la meniaga kurang sambutan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Azkhalim, selain air bertakung, terdapat juga aduan bumbung bocor di dua lot tapak mengakibatkan pakaian yang dijual terjejas kerana basah.

Iklan

"Banyak penambahbaikan perlu dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengatasi masalah ini termasuk isu pengudaraan dalam bazar pada waktu siang kerana agak panas.

"Peniaga-peniaga terpaksa ikut kehendak DBKL namun banyak masalah timbul dan tindakan lewat diambil.

"Jika ada persatuan yang uruskan lebih mudah selesaikan setiap masalah yang timbul," katanya.