Pemimpin berhati nurani bersih berupaya bina kejayaan tamadun - Anwar

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Ilmu Madani dan Sesi Dialog Perdana Menteri bersama pegawai hal ehwal islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kompleks Seri Perdana malam ini. - Foto Bernama.

PUTRAJAYA - Kejayaan sesebuah tamadun merupakan hasil pimpinan pemimpin yang mempunyai hati nurani yang bersih dan tidak hanya bergantung kepada kerangka ekonomi, sosial, pendidikan dan teknologi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, tanpa ciri itu pada pemimpin, sesebuah tamadun akan runtuh sekiranya soal nilai dan akhlak tidak diberi tumpuan dalam agenda pembangunan tamadun.

Iklan
Iklan

"Dalam dunia moden dan teknologi maju, kena ada nilai dan akhlak. Tamadun yang runtuh bukan sebab ekonomi atau sosial, tetapi kerana tiada nilai dan akhlak, sebab itu tatakelola rosak.

"Apabila tatakelola lemah, negara akan jatuh,” kata Anwar ketika menyampaikan amanat pada Majlis Ilmu MADANI dan Sesi Dialog Perdana Menteri bersama pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi agama di Seri Perdana, di sini malam ini.

Iklan

Anwar berkata, sejak beliau memimpin Kerajaan Perpaduan pada November lepas, agenda untuk mengangkat martabat Malaysia di mata dunia menjadi agenda utamanya dengan dibantu barisan Menteri Kabinet yang mewakili pelbagai kaum dan agama.

"Saya pegang jawatan ini, Alhamdulillah.. dan saya selesa. Saya tak perlu wang berjuta-juta untuk beli harta.

Iklan

"Saya tidak perlukan itu, tapi saya nak buktikan sesungguhnya di Malaysia ini ada Melayu Islam yang berpegang dengan fahaman Islam dan boleh angkat martabat negara,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

Menyentuh peranan Jakim, Anwar berkata, peranan jabatan itu di bawah pimpinannya lebih luas berbanding sebelum ini kerana khidmat nasihat serta pandangan Jakim diperlukan dalam setiap urusan tadbir urus negara dan menyatakan penghargaannya terhadap setiap pandangan yang dikemukakan daripada agensi berkenaan.

Majlis Ilmu Madani dan Sesi Dialog Perdana Menteri bersama pegawai Jakim yang bermula pukul 6.30 petang itu dihadiri kira-kira 300 pegawai hal ehwal Islam Jakim dari seluruh negara.

Hadirin turut bersolat maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Zulkeffly Adimun disusuli dengan bacaan doa dan tausiyah (nasihat) yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah dan kemudiannya mereka menunaikan solat isyak secara berjemaah.

Majlis ilmu sedemikian diadakan secara berkala di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, sejak diperkenalkan Anwar pada 22 Dis 2022 dengan pengisian tausiyah yang disampaikan ulama terkenal dari dalam dan luar negara serta solat secara berjemaah.

Antara ulama yang pernah menyampaikan ceramah di majlis berkenaan ialah Imam Besar Masjid Al-Aqsa Syeikh Dr Ekrima Sabri, ulama dari United Kingdom Syeikh Ahmed Mohamed Saad Al-Maliki Al-Azhari Al-Hasani dan ulama dari Gambia Syeikh Muhammad Haydara Al-Jilani. - Bernama.