Sukan Asia: Muhammad Azeem, Shereen lepasi halangan pertama

Iklan
Muhammad Azeem. Foto fail.

DUA atlet negara berpangkalan di Amerika Syarikat, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy, membuat penampilan sulung di Sukan Asia dengan bergaya apabila masing-masing melepasi saringan pertama di Stadium Olimpik Hangzhou malam ini.

Muhammad Azeem, raja pecut berusia 19 tahun, mara ke peringkat separuh akhir acara 100 meter (m) lelaki selepas mengungguli saringan ketika dengan 10.28 saat (s), mengatasi juara Asia 2017 Hassan Taftian dari Iran (10.42s) dan Ali Anwar Ali al-Balushi dari Oman (10.47s).

Iklan
Iklan

Pemegang rekod kebangsaan dengan 10.09s itu menduduki tempat kesembilan keseluruhan, dengan wakil tuan rumah Xie Zhenye (10.07s), Pusipol Boonson dari Thailand (10.13s) dan Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia (10.22s) berada di tiga terbaik.

Ketika ditemui pemberita Muhammad Azeem berkata, sasarannya pada perlumbaan malam ini adalah untuk memenangi peringkat saringan sekali gus mara ke peringkat seterusnya.

Iklan

"Sasaran saya adalah untuk menang peringkat saringan dan 10.27s masa yang masih baik untuk layak ke separuh akhir. Ia satu perlumbaan yang baik walaupun ini merupakan kali pertama berlari pada waktu malam dalam tempoh enam tahun... Harap esok dapat perbaiki lagi catatan masa,” katanya.

Seorang lagi pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan turut layak ke separuh akhir selepas merekodkan 10.48s untuk menduduki tempat ke-19 keseluruhan.

Iklan

Sementara itu, Shereen layak ke peringkat akhir acara 400m wanita selepas memenangi saringan ketiga dan berharap mampu menamatkan kemarau pingat 17 tahun Malaysia di Sukan Asia, esok.

Atlet berusia 25 tahun itu mencatatkan masa 52.89s, kira-kira satu saat kurang daripada rekod kebangsaan miliknya 51.80s, untuk mengatasi pelari Vietnam Hoang Thi Minh Hanh (53.89s) dan Sahib E Asra dari Pakistan (55.18s).

Catatan masa itu meletakkan Shereen di tempat kelima daripada keseluruhan 18 pelari, dengan dua wakil Bahrain Adekoya Oluwakemi Mujidat (50.53s) dan Salwa Eid Naser (52.52s) masing-masing di tempat pertama dan kedua.

"Gembira kerana dapat mara ke pusingan akhir dalam penampilan pertama saya di Sukan Asia. Sasaran saya adalah untuk layak ke peringkat akhir, dan gembira dapat lakukannya... Harap dapat menyumbang pingat kepada Malaysia, dua pelari Bahrain sangat hebat, mereka adalah pesaing saya,” katanya.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat Umar Osman apabila terlepas tempat di final acara 400m lelaki selepas merekodkan 46.58s, berbanding rekod kebangsaan miliknya 46.09s, untuk menamatkan saingan di tempat ke-11 keseluruhan.

Atlet baling tukul besi wanita negara Grace Wong menamatkan saingan di tempat ke-10 daripada 11 peserta akhir selepas melakukan balingan 57.46m.

Wakil tuan rumah mendominasi dua tempat teratas selepas Wang Zheng melakukan balingan 71.53m untuk meraih pingat emas diikuti Zhao Jie yang mememangi perak (69.44m) manakala pingat gangsa dimenangi atlet Korea Selatan, Kim Taehui (64.14m). - Bernama.