Bank kecualikan caj DuitNow QR kepada peniaga kecil - BNM

Iklan
Bank-bank dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank utama akan mengecualikan fi transaksi bagi perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bank-bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank utama akan mengecualikan caj transaksi bagi perniagaan mikro serta kecil yang menerima bayaran secara DuitNow QR.

Bank pusat itu berkata, perniagaan tersebut akan terus menikmati kos sifar dalam transaksi sementara pelanggan yang menggunakan perkhidmatan berkenaan juga tidak dikenakan sebarang caj.

Iklan
Iklan

"Bagi perniagaan, sebarang fi transaksi dikenakan terhadap pembayaran secara QR kekal rendah sama seperti dikenakan ke atas pembayaran menggunakan kad debit atau lebih rendah daripada caj terbabit.

"Perniagaan yang menggunakan DuitNow QR sebagai kaedah pembayaran juga tidak perlu membayar kos berulang untuk sewaan terminal jualan (POS) bagi saluran pembayaran berasaskan kad atau kos tambahan untuk overhed dan pentadbiran bagi mengendalikan pembayaran tunai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Kenyataan tersebut sebagai respons berhubung kebimbangan mengenai pengenalan caj transaksi oleh beberapa pemeroleh ke atas perniagaan yang menerima bayaran DuitNowQR mulai 1 Oktober.

Menurutnya, caj bagi transaksi yang dikenakan beberapa pemeroleh ke atas perniagaan yang menerima bayaran melalui kemudahan itu bermula 1 Oktober depan disebabkan oleh tempoh pengecualian fi sementara telah tamat sejak diperkenalkan pada 2019.

Iklan

"Ia bertujuan untuk menampung kos dan pelaburan oleh industri yang menyelenggara sistem pembayaran mereka termasuklah dalam aspek kawalan keselamatan siber dan pencegahan penipuan," ujarnya.

Dalam pada itu BNM turut menyatakan industri akan mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesan fi transaksi yang mungkin dihadapi oleh perniagaan kecil.

Tambahnya lagi, bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank terpilih menguruskan 75 peratus perniagaan yang kini menerima pembayaran DuitNow QR, telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengecualikan yuran transaksi untuk perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR.

"Di samping itu, pengendali DuitNow QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), akan memperuntukkan sumber untuk membantu membiayai kos yang ditanggung oleh pemeroleh yang terus menawarkan pengecualian penuh kepada perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran DuitNow QR.

"Langkah ini akan membolehkan perniagaan mikro dan kecil terus menikmati perkhidmatan pembayaran DuitNow QR pada kos sifar, selain memastikan perkhidmatan pembayaran QR kekal cekap, boleh dipercayai dan selamat untuk semua pengguna,” katanya.