KUALA TERENGGANU - Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) berharap kerajaan dapat mengekalkan pemberian subsidi diesel dan petrol serta elaun sara hidup dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober ini.
Pengerusinya, Mat Yassin Mohamed berkata, ia sebagaimana yang telah dilaksanakan terhadap golongan nelayan sebelum ini berdasarkan kemampuan ekonomi yang ada.
Katanya, bantuan itu perlu untuk memastikan golongan berkenaan terus terbela sekali gus mewujudkan situasi timbal balik bagi kedua-dua belah pihak.
"Berdasarkan keadaan ekonomi hari ini, kita sebolehnya tak mahu bebankan kerajaan. Kalau boleh kita nak minta kekalkan yang mana ada (subsidi) jika kerajaan berkemampuan.
"Kalau kerajaan tarik subsidi itu memang beratlah. Begitu juga dengan elaun sara hidup yang sebelum ini diberikan sebanyak RM300 kepada golongan nelayan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas mengenai elaun sara hidup, katanya, kerajaan diharap dapat menilai kembali jumlah itu berdasarkan situasi ekonomi yang tidak menentu dengan kenaikan harga barang.
"Elaun sara hidup bulanan sebanyak RM300 dah lama jadi kalau boleh kita minta ditambah menjadi RM400 atau RM500. Ia berdasarkan sumbangan nelayan dalam usaha membekalkan hasil laut negara sebagai makanan kepada rakyat,” ujarnya.
Mat Yassin berkata, golongan nelayan juga tidak terkecuali terjejas ketika musim tengkujuh kerana tidak dapat turun ke laut.
"Bantuan musim tengkujuh amat diperlukan bagi meneruskan kelangsungan hidup. Sebelum ini kami tidak dapat bantuan (musim tengkujuh) namun digantikan dengan bantuan tambahan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500.
"Bantuan musim tengkujuh sebelum ini diterima oleh petani dan penoreh getah sebab nelayan dah ada elaun sara hidup bulanan disalurkan kerajaan Persekutuan.
"Oleh itu, kita harap kerajaan negeri boleh main peranan dengan memberi bantuan secara one off sebanyak RM500 terutama kepada nelayan pantai yang tak dapat turun ke laut sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Berdasarkan rekod, terdapat lebih 100 persatuan nelayan aktif di seluruh negara dengan dianggotai kira-kira 80,000 nelayan berdaftar.
Daripada jumlah itu, sebanyak 91 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), 13 Persatuan Nelayan Negeri (PNN) serta Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).
Saranan petani
Sementara itu di Alor Setar, KEDAH, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) turut berharap kerajaan memberi perhatian kepada beberapa isu dalam Belanjawan 2024 untuk memastikan nasib dan hak petani terus terbela.
Exco Tugas-Tugas Khas PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, antara harapan mereka adalah mahu kerajaan mempertimbangkan untuk menghentikan Projek Estet Berskala Besar (Smart SBB).
"Kerajaan sepatutnya menyokong dan meramaikan usahawan-usahawan petani individu, koperasi, persatuan dan syarikat lokal yang sudah mengusahakan banyak sawah terbiar atau yang tidak diusahakan oleh tuan tanah,” kata beliau.
Selain itu menurutnya, kerajaan juga diharap dapat menyalurkan subsidi input pertanian terus kepada pesawah dalam bentuk kupon melalui satu mekanisme yang dipersetujui bersama antara kerajaan dan petani.
Beliau berkata, petani juga mengesyorkan penetapan jadual pengairan yang dinamik dibuat secara bersama oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Jabatan Pertanian agar tidak berlaku jadual bekalan benih yang bercanggah dengan jadual bekalan air.
"Gabungan kejuruteraan dan aplikasi teknologi perlu dibina untuk menyelaraskan penyelenggaraan air yang cekap dan tepat,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, beras tempatan perlu diutamakan dalam penyediaan stok simpanan beras negara dan penggunaan beras tempatan dalam semua tender-tender kerajaan.
"Pastikan juga kawalan ketat dilaksanakan terhadap kemasukan beras import supaya dapat menjaga kuota beras tempatan,” jelas beliau.
Ujarnya, kesemua tuntutan tersebut adalah sebahagian harapan pesawah yang menjadi barisan hadapan sekuriti makanan negara.