Hari Sukan Negara peringkat Selangor tampil kelainan

Iklan
Mohd Khairuddin bergambar bersama penerima duit raya pada Program Semarak Ramadan Generasi Muda Selangor 2019, di Hotel De'Palma di sini malam ini.

SHAH ALAM - Hari Sukan Negara pada Oktober ini akan menampilkan kelainan seperti himpunan khas buat penggemar kereta dan motosikal selain sukan rakyat.

Penganjuran Hari Sukan Negara di negeri ini juga akan diwarnai dengan pelbagai bentuk dan acara sukan kepada masyarakat, khususnya golongan belia.

Iklan
Iklan

Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, program di bawah Kementerian Belia dan Sukan ini diwujudkan untuk memajukan sukan di semua peringkat lapisan umur.

"Kita mahu melaksanakan aktiviti disukai belia dan paling penting tidak syok sendiri, apatah lagi di zaman milenial ini, selain daripada acara sukan yang biasa pendekatan berbeza juga diambil dengan mengadakan himpunan khas buat penggemar kereta dan motosikal.

Iklan

"Apa yang kita buat adalah dengan cara kita sendiri seperti program sukan luar bandar dijalankan baru-baru ini yang meliputi pelbagai acara sukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Semarak Ramadan Generasi Muda Selangor 2019, di Hotel De'Palma, di sini.

Iklan

Katanya, apa yang menjadi keutamaan adalah mendekati rakyat dan memberi peluang kepada mereka untuk bersukan.

"Tidak semestinya sukan berprestasi tinggi sahaja, tetapi sukan rakyat lain seperti lari dalam guni

"Malah, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyasarkan golongan belia untuk hadir bersama menjayakannya kerana kita mahu melaksanakan aktiviti disukai belia," katanya.

Mengulas mengenai majlis tersebut, Mohd Khairuddin berkata, ia diadakan untuk mengeratkan hubungan ukhuwah antara pemimpin, anak muda, mahasiswa serta NGO generasi muda.

"Majlis ini merupakan medan terbaik untuk membina jaringan selain bertukar-tukar buah fikiran, terutama dalam mencari idea menyemarakkan lagi aktiviti generasi muda.

"Paling penting bukan hanya memberi impak kepada generasi muda, akan tetapi perlu dilihat sebagai satu pendekatan menyemai benih kasih sayang dan memupuk nilai murni," katanya.

Dalam majlis ini, Khairuddin menyerahkan sumbangan duit raya kepada beberapa anak yatim dari Rumah Aman dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Saujana Utama termasuk pelajar Maahad Tahfiz Darul A'raf, Klang serta Maahad Tahfiz Sulaimaniyah, Bukit Kapar, Meru.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Eksekutif Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi; ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin, ADUN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof, wakil Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan wakil-wakil mahasiswa termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia.