KUALA LUMPUR - Tujuh buah motosikal disita dan lapan tangkapan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Operasi Hormat Undang-Undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sitaan dan tangkapan dibuat ekoran beberapa kesalahan berat dilakukan pengguna jalan raya termasuk tiada lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) serta menggunakan ekzos bising.
Selain itu kata beliau, sebanyak 5,809 saman dikeluarkan kepada pesalah lalu lintas semasa operasi itu dilakukan semalam.
Katanya, masih ramai pengguna jalan raya melakukan kesalahan menghalang lalu lintas dengan jumlah saman yang dikeluarkan sebanyak 4,818.
"Antara kesalahan utama lain dilakukan adalah tiada lesen memandu melibatkan warga tempatan sebanyak 134 saman dan empat saman ke atas warga asing untuk kesalahan sama," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sarifudin berkata, sebanyak 58 saman dikenakan ke atas pesalah yang melanggar lampu isyarat merah, manakala 51 saman atas kesalahan nombor pendaftaran kabur atau fancy.
Selain itu katanya, sebanyak 98 saman dikeluarkan ke atas pesalah yang meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih, manakala dua saman melibatkan kesalahan berhenti di petak kuning.