SUNGAI SIPUT - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Perak Agrofest di Ladang Infoternak Sungai Siput (U) di sini pada Sabtu.
Program Perak Agrofest merupakan penjenamaan semula Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri.
Menariknya, selepas 10 tahun program berkenaan kembali dianjurkan di Ladang Infoternak Sungai Siput (U) di sini, selepas kali terakhir diadakan pada 2013.
Bertemakan Lestari Agro, Perak Makmur, Perak Agrofest yang berlangsung selama tiga hari mulai 29 September hingga 1 Oktober 2023 merupakan program dwitahunan dan diadakan secara berselang seli dengan program Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA).
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 15 pemenang kategori pertandingan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perak tahun 2023.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut berkenan melawat ke ruang pameran jabatan dan agensi yang disediakan selain bertemu rakyat jelata sempena program berkenaan sebelum berangkat pulang.
Mengiringi baginda, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan beberapa ketua jabatan serta agensi.
Penganjuran Agrofest pada tahun ini melibatkan kerjasama hampir 50 jabatan dan agensi dari seluruh negeri Perak.