SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan berlaku ancaman penyakit X di negara ini.
Timbalan Menterinya, Lukanisman Awang Sauni berkata, persediaan itu antaranya menerusi pengalaman menangani situasi pandemik Covid-19 sebelum ini.
Menurutnya, penyakit X yang dijangka menjadi pandemik pada masa depan itu sememangnya belum dikenal pasti setakat ini.
"Saya berharap rakyat tidak bimbang dan maklumat mengenai sebarang penyebaran penyakit atau virus akan terus diuar-uarkan kepada umum," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas upacara pelepasan peserta Lotus’s Ceria Charity Run dan pelancaran Bulan Kesihatan Lotus’s di Setia Alam di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, kata Lukanisman, pihaknya mengakui wujud kegusaran rakyat yang baru saja mendepani pasca Covid-19.
"Selain keadaan kesihatan, ia melibatkan faktor psikologi yang masih terkesan dengan pandemik itu sebelum ini.
"Namun, KKM memberi jaminan akan memperhalusi segala pengalaman yang ada sebagai panduan menghadapi sebarang kemungkinan kelak," ujarnya.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memberi amaran kepada semua negara jika berlaku ancaman penyakit X berkenaan.
Namun, di peringkat Malaysia, KKM sentiasa membuat pemantauan jika ada muncul penyakit-penyakit baharu seperti yang diperkatakan.
Pakar kesihatan global sebelum ini percaya ancaman pandemik besar seterusnya semakin hampir dan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding Covid-19.
Ia digelar sebagai penyakit X oleh WHO dan dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa dan menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat selepas dunia berada pada situasi 'tidak bersedia' ketika Covid-19 pada awal 2020.