[VIDEO] PRK Pelangai: BN yakin ulangi kejayaan di Tioman

Iklan

BENTONG - Usaha pembangkang yang cuba meracuni pemikiran pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dengan menafikan pelbagai usaha kerajaan di kawasan itu tidak akan menjejaskan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin BN mampu mempertahankan kerusi DUN Pelangai seterusnya mengulangi kemenangan parti itu dalam PRK Tioman meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, BN perlu berusaha sedaya upaya merealisasikan perkara itu kerana pihak lawan kini dilihat cuba menafikan dukungan pengundi kepada BN.

Ahmad Zahid - Foto Bernama

"Insya-ALLAH kita mempertahankan Pelangai kerana kita yakin pengundi di sini amat dekat dengan BN. Mereka mahu perkhidmatan terbaik oleh seorang ADUN yang bersama kerajaan negeri dan Pusat.

Iklan

"Saya berharap rakyat Pelangai bijak seperti Pulai dan Simpang Jeram dan buat keputusan tepat pilih seorang wakil rakyat yang dapat beri kesinambungan perkhidmatan sebelum ini.

"Saya harap mereka menolak calon yang tidak dapat beri perkhidmatan tidak selari dengan Putrajaya dan Pahang," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFuture Jobs bersama Hawa Malaysia di Felda Chemomoi di sini, pada Sabtu.

Iklan

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

PRK DUN Pelangai kali ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon Bebas.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak sibuk berkempen sebaliknya fokus kepada masalah banjir yang berlaku di negeri itu.

"Saya yakin beliau dapat berikan perkhidmatan terbaik kepada mangsa banjir. Jangan sibuk ke sana sini, jaga rakyat sendiri.

"Saya harap isu dibawa beliau tidak lekat di hati pengundi Pelangai, walaupun saya tahu beliau cuba bawa isu latar belakang peneroka untuk benci kerajaan Putrajaya dan Pahang," katanya.

Beliau juga mendoakan 1,452 mangsa banjir membabitkan 400 keluarga dapat ditangani Muhammad Sanusi dengan baik.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, usaha bagi mewujudkan satu cawangan bank di Pelangai seperti yang diinginkan penduduk sedang diusahakan kerajaan negeri

"Mereka telah kemukakan rayuan (bank komersial) kepada MB dan kita telah uruskan sebuah cawangan bank komersial yang dapat bantu penduduk Pelangai melakukan transaksi. Bukan setakat mesin ATM," katanya.