Bukan tugas SPRM tentukan siapa layak bertanding - Azam

Iklan
Azam (berdiri, tengah) bergambar bersama pengamal media semasa program menembak SPRM bersama media 2023 sempena ulang tahun SPRM ke-56 di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor pada Sabtu.

KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan keputusan calon bertanding pada pilihan raya adalah keputusan penuh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sama ada calon bertanding terlibat dalam isu rasuah atau tidak, perkara melayakkan seseorang itu bertanding adalah di bawah bidang kuasa SPR.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, SPRM sama sekali tidak terlibat untuk menentukannya, sebaliknya hanya akan menyiasat kes atau isu dikaitkan dengan rasuah.

"Keputusan menentukan sama ada seseorang itu layak bertanding atau sebaliknya meskipun berhadapan dakwaan atau terlibat dalam isu rasuah adalah keputusan SPR.

Iklan

"Maka terpulang kepada mereka (SPR) untuk menentukannya dan semuanya diputuskan oleh SPR, bukan kami di SPRM.

"Perkara seumpama ini adalah di bawah tadbir urus SPR dan kami (SPRM) hanya menyiasat isu-isu melibatkan rasuah atau kesalahan di bawah Akta SPRM dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata pada program menembak SPRM bersama media 2023 sempena ulang tahun SPRM ke-56 di Maktab Penjara Malaysia, dekat sini.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan bagaimana individu terlibat dalam kes rasuah boleh bertanding pada pilihan raya.

Kenyataan Mohd Puad itu merujuk kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid sebagai perasuah.

Mengulas lanjut, Azam berkata, melihat kepada apa yang dilaksanakan oleh SPR, suruhanjaya itu masih membenarkan mereka yang dituduh di mahkamah untuk bertanding pada pilihan raya.

Jelasnya, SPR lebih arif berhubung siapa yang layak untuk bertanding berdasarkan peraturan ditetapkan.

Menurut beliau, SPR adalah sebuah badan yang mengawasi atau sebagai 'regulator' kepada semua urusan pilihan raya.

Meskipun begitu tegas beliau, SPRM sentiasa bekerjasama dengan SPR dalam setiap pilihan raya diadakan di negara ini.

Sebagai contoh katanya, SPRM akan bersama SPR membuka bilik gerakan pada setiap pilihan raya bagi membolehkan orang ramai membuat aduan dan menyampaikan maklumat.