PONTIAN - Ular sawa batik seberat 130 kg dan sepanjang lima meter yang kekenyangan selepas menelan seekor babi hutan ditemukan di tebing sungai Jalan Sawah Pekan Nanas, di sini, kelmarin.
Penduduk, Jais Munseri, 47, berkata, reptilia itu ditemui seorang pekebun yang kebetulan melalui kawasan sungai berkenaan.
"Selepas diberitahu ada ular sawa, saya cepat-cepat hubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam). Bila APM sampai, saya dan penduduk lain bantu untuk tarik ular yang berada di tebing.
"Kami tarik guna tali, berat dan besar ular ni macam budak 5 tahun,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah melihat seekor babi hutan berkeliaran di laman rumahnya pada siang hari.
"Saya pelik sebab selalunya, babi hutan ni berkeliaran waktu malam.
"Jadi bila jumpa ular sawa ni, baru saya faham mungkin babi yang berkeliaran ni cari 'kawan' dia yang hilang,” katanya.
Tidak mahu kejadian ular sawa membaham binatang berulang, Jais meminta agar pihak berkaitan dapat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan seperti memotong rumput dan menggali sungai di kawasan kampung.
Sementara itu Pegawai APM daerah Pontian, Mohd Noorhafidzul Nordin berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk membawa naik ular itu ke atas tebing sungai.
Katanya, ular tersebut dibawa ke pejabat APM daerah untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor.