Kotak makanan tidak lagi disalur melalui pusat khidmat ADUN

Iklan
Gambar tular yang menunjukkan kotak makanan Yayasan Perak ditampal pelekat individu sebelum diagihkan kepada penerima bantuan tersebut.

IPOH - Yayasan Perak tidak akan menyalurkan bantuan kotak makanan melalui pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas menerima aduan terdapat pihak tertentu yang membungkus semula serta menampal pelekat tertera logo parti politik.

Pengurus Pentadbiran Yayasan Perak, Mohamad Hidayat Abd Halim berkata, mulai Oktober pihaknya akan mengagihkan terus kotak makanan berkenaan kepada rakyat yang memerlukan dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Iklan
Iklan

Sehubungan itu katanya, dakwaan yang disebarkan di laman sosial kononnya kerajaan negeri Perak akan menghentikan pengagihan kotak makanan kepada rakyat miskin dan golongan memerlukan di kawasan yang diwakili wakil rakyat pembangkang mulai bulan hadapan adalah tidak benar.

"Yayasan Perak memandang serius pelbagai aduan yang diterima termasuk perbuatan membuka kotak dan membuat pembungkusan semula (repacking), menampal kotak dengan pelekat tertera logo parti politik, mengubah kuantiti asal bungkusan makanan serta pengagihan tidak mengikuti kuota dan tempoh ditetapkan.

Iklan

"Malah, tindakan membuat pembungkusan semula atau menampal kotak dengan pelekat lain sehingga menutup label jenis-jenis makanan dan tarikh akhir penyaluran kotak makanan dikhuatiri mengakibatkan berulangnya insiden tidak diingini seperti penerima mendapat barang makanan tamat tarikh luput," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Hidayat berkata, Yayasan Perak sangat mengambil berat tanggungjawab untuk memastikan setiap kotak makanan yang diagihkan kepada rakyat memerlukan adalah selamat setelah melalui proses kawalan kualiti yang ditetapkan.

Iklan

Pihaknya juga komited untuk mematuhi polisi kerajaan negeri seperti ditetapkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad supaya penyaluran bantuan kotak makanan kepada golongan memerlukan dilakukan secara adil tanpa mengira kawasan kerajaan atau pembangkang.

"Sebagai agensi bertanggungjawab menyelaraskan program berkenaan, Yayasan Perak akan terus menyalurkan bantuan itu tanpa mengira kawasan, malah telah membuat langkah penambahbaikan bagi memastikan ia memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasar.

"Sehubungan itu, Yayasan Perak akan terus menjalin hubungan baik dengan semua wakil rakyat di negeri ini dan sentiasa terbuka berkongsi maklumat bagi memastikan golongan rakyat susah yang memerlukan bantuan makanan di kawasan masing-masing dapat disantuni sebaiknya," katanya.

Sebelum ini beberapa ADUN pembangkang di Perak memuat naik hantaran di Facebook mendakwa bantuan kotak makanan oleh Yayasan Perak akan dihentikan bermula Oktober depan.