SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan Bank Negara (BNM) memberi jaminan caj transaksi untuk pembayaran melalui aplikasi DuitNow QR dimansuhkan sepenuhnya.
Naib Ketuanya, Ammar Atan berkata, pemansuhan itu perlu meliputi semua peniaga tanpa mengira saiz perniagaan.
"Jika ada bank yang berkeras mahu mengenakan yuran transaksi ini, Pemuda Amanah mendesak bank berkenaan menjelaskan secara terbuka kos yang ditanggung oleh mereka dan mengapa perlunya yuran transaksi ini dikenakan.
"Jika alasan berkenaan tidak relevan, maka eloklah bank-bank seperti ini diboikot kerana lebih mementingkan kantung keuntungannya. Pemuda Amanah berharap BNM dan bank-bank tempatan mempertimbangkan semula keputusan mereka," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bank Negara Malaysia (BNM) pada Jumaat menyatakan bank-bank utama dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank utama akan mengecualikan caj transaksi bagi perniagaan mikro serta kecil yang menerima bayaran secara DuitNow QR.
Bank pusat itu berkata, perniagaan tersebut akan terus menikmati kos sifar dalam transaksi sementara pelanggan yang menggunakan perkhidmatan berkenaan juga tidak dikenakan sebarang caj.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ammar turut mempersoal logiknya di sebaliknya uran transaksi yang menggunakan aplikasi berkenaan memandangkan peralihan kepada teknologi itu membantu bank menjimatkan kos.
"Dengan beralih kepada penggunaan DuitNow QR, bank-bank di Malaysia telah dapat menjimatkan kos pengendalian wang tunai, termasuk proses penyimpanan tunai secara fizikal dan kebergantungan terhadap mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
"Kerosakan wang tunai juga dapat dikurangkan dan ini seterusnya akan mengurangkan kos ditanggung oleh BNM," katanya.
PayNet yang mengendalikan kod DuitNow QR, baru-baru ini menjelaskan bahawa penepian bagi caj kadar diskaun pedagang (MDR) selama empat tahun ke atas peniaga akan tamat tempoh pada 1 November 2023.
Buat masa ini kata pengendali itu, pembayaran kad debit dan kredit adalah tertakluk kepada MDR.
Susulan kenyataan tersebut, pelbagai pihak termasuk pemimpin politik tampil mempersoal keperluan untuk mengenakana caj terbabit.