'Terima ahli lompat parti hina proses pilihan raya'

Iklan
Nik Nazmi
SHAH ALAM - Tindakan menerima secara terbuka mereka yang melompat parti merupakan satu penghinaan kepada proses pilihan raya.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, malah tindakan menerima kelompok itu akan menghancurkan kewibawaan demokrasi.

"Saya berharap tidak ada tokoh politik dari pembangkang yang akan diterima dalam mana-mana parti komponen PH tanpa muafakat dan persetujuan kepimpinan kesemua parti komponen menerusi Majlis Presiden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, walaupun kebebasan berpersatuan dan menyertai parti politik mesti dihormati, cukup penting juga untuk pilihan pengundi semasa PRU yang lalu dipertahankan.

"PH sudah memiliki majoriti kerusi Parlimen untuk memerintah di peringkat pusat. Sebarang isu yang memerlukan majoriti dua pertiga perlu diusahakan melalui usaha dwiparti, pembangkang dan kerajaan,” katanya.

Nik Nazmi menambah, tekanan terhadap pembangkang dan penyokongnya mesti dihentikan.

"Kita bukan sekadar kerajaan baru semata-mata, tapi perlu mentadbir dengan cara yang baru. Kita perlu pembangkang yang kuat untuk mengelakkan tragedi lama berulang,” katanya lagi.