TEMERLOH - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Berdepan enam adik-beradik orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah mental bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun bagi dua beradik, Muslaili, 36 dan Haslina Musa, 35, mereka tiada pilihan selepas kedua-dua orang tuanya Musa Singgah dan Halijah Mat Bakar meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu.
Merekalah yang menjaga Mustafa, 54, Mustajudin, 53, Musnani, 45, Musalmah, 43, Muzlan, 42 dan Mohd Muslim, 41.
Dua beradik itu kini tinggal bersebelahan dengan rumah yang didiami enam beradik itu di Kampung Baru Lebak di sini bagi memudahkan mereka menjaga mereka.
Bukan senang untuk menjaga mereka kerana ke semuanya amat agresif dan terpaksa bergantung kepada ubat yang diberikan.
Sudah lali dengan pelbagai gelaran diberikan terhadap keluarga itu, Haslina akur dan reda dengan ujian yang diberikan terhadap keluarganya yang terdiri 13 beradik.
Menurut Haslina, pada peringkat awal dia merasa hilang semangat sejak arwah ayahnya meninggal dunia kerana uzur.
Ujarnya, kerana keperitan yang dirasai, dia pernah dua kali keguguran iaitu pada tahun lalu dan terbaru April lalu disebabkan tekanan.
"Sebab selama ini ayah yang banyak menjaga jadi memang terasa bila kehilangannya.
"Namun bila saya ingat pesanan arwah ayah ‘biarlah kita susah di sini nanti di sana (akhirat) kita senang’ menyebabkan saya kembali bersemangat dan sabar melayan ragam mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
Suami banyak membantu
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Ternyata Haslina tidak keseorangan memikul tanggungjawab itu.
Mengakui suaminya, Ahmad Rizuan Jamin, 31, banyak membantu memberi sokongan dan memahami kesulitan dihadapi.
Katanya, suaminya itu hanya bekerja di bengkel kimpalan dengan gaji RM55 sehari dan perlu menanggung seorang anak perempuan berusia13 tahun yang masih bersekolah.
"Saya bersyukur kerana suami banyak membantu menghantar adik-beradik ke hospital bila perlu.
"Buat masa ini memang kami memerlukan sumbangan terutamanya untuk barangan keperluan harian,” katanya.
Difahamkan empat daripada enam beradik itu menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katannya, dengan kesukaran dan ragam adik-beradiknya itu, rawatan dan ubat ada dihantar terus ke rumahnya oleh pihak hospital.
Pun begitu Haslina mengakui tetap menyimpan harapan untuk melihat adik-beradiknya pulih dan menerima rawatan lebih baik selain bersedia menerima jika ada mana-mana pihak ingin menempatkan mereka di pusat penjagaan khas.
Reda dengan ujian
Sementara itu, Muslaili yang merupakan ibu tunggal sanggup menumpang tinggal bersama Haslina untuk menjaga enam beradik itu.
Dia yang bekerja di sebuah restoran tidak pernah meratapi nasib yang menimpa dirinya sekeluarga namun reda dengan ujian diberikan.
Ditanya mengenai persediaan Ramadan, Muslaili mengakui keluarganya ada menerima beberapa bantuan barangan keperluan harian.
"Untuk Aidilfitri nanti persediaan hanya ala kadar kerana saya tak mampu nak sedia apa-apa,” katanya lagi. Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan di akaun Bank Islam (06028024555191) atas nama Haslina dan sebarang pertanyaan lanjut boleh dihubungi di talian 019-9854132.