SKUAD sepak takraw lelaki negara enggan meratapi kekalahan kepada Thailand dalam final acara regu berpasukan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua pada Jumaat.
Tekong negara Syahir Rosdi berkata, kekecewaan itu perlu diterjemahkan menjadi satu semangat bagi meneruskan perjuangan Malaysia dalam mempertahankan pingat emas acara antara regu yang akan bermula Khamis depan.
Katanya, pasukan negara mula menemui rentak permainan biarpun tewas di final selepas lebih bergelut dalam aksi peringkat awal, sekali gus optimis momentum positif itu dapat diteruskan.
"Perjuangan kami tak habis lagi, kami tidak akan putus asa, macam mana pun kami akan cuba dapatkan pingat emas dalam acara antara regu nanti,” katanya yang membuat penampilan ketiga berturut-turut di Sukan Asia sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Sementara itu, apit kanan Azlan Alias yang meraih penampilan keduanya di temasya berkenaan berkata:"Kami akan tampil dengan aksi yang lebih baik dalam acara antara regu.".
Acara antara regu, Malaysia diundi dalam Kumpulan A, akan dicabar Vietnam dan Singapura dalam laluan ke separuh akhir.
Sementara itu, Thailand yang tidak menghantar penyertaan dalam acara itu pada edisi Jakarta-Palembang, Indonesia lima tahun lalu, diundi bersama India, Filipina dan Myanmar dalam Kumpulan B.
Pada final regu berpasukan sebelum ini, Thailand menewaskan Malaysia 2-0 untuk meneruskan dominasi 25 tahun mereka selepas meraih emas buat kali ketujuh berturut-turut dalam acara sama sejak edisi 1998 di Bangkok.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian perak yang diraih edisi lalu. - Bernama