Cadangan pindaan akta akan diusulkan kepada Majlis Peguam

Iklan
Thas (tengah) bergambar bersama barisan ahli Jawatankuasa Peguam Selangor yang terlibat menjayakan Persidangan Undang-Undang Sivil Peguam Selangor 2023 di Subang Jaya pada Sabtu.

SUBANG JAYA - Cadangan pindaan beberapa akta yang disuarakan pada Persidangan Undang-Undang Sivil Peguam Selangor 2023 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir pada Sabtu akan diusulkan kepada Majlis Peguam Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Peguam Selangor, M K Thas berkata, langkah itu bagi membolehkan libat urus dilakukan dengan badan kerajaan yang berkaitan supaya sistem perundangan negara dapat ditambah baik demi kepentingan orang awam.

Iklan
Iklan

"Antara cadangan yang dikemukakan oleh penceramah adalah perlunya pindaan terhadap undang-undang sivil dan undang-undang keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada persidangan itu.

Memperincikan tentang saranan pindaan undang-undang keluarga, Thas menjelaskan, merujuk kepada terma peguam bebas kanak-kanak (ICL) ia memerlukan maksud lebih tepat kepada tafsiran beberapa ayat dalam peruntukan undang-undang itu agar dapat ditambah baik.

Iklan

"Jadi perkara ini akan dibawa ke Majlis Peguam Malaysia untuk dilakukan libat urus dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri," ujarnya.

Sementara itu, Thas memberitahu, konvensyen itu diadakan sebagai satu bentuk pembelajaran atau literasi sivil yang berterusan kepada peguam-peguam.

Iklan

"Jadi dengan interaksi sebegini akan beri manfaat kepada peguam-peguam di bawah Jawatankuasa Peguam Selangor.

"Penyertaan persidangan ini juga datang dari ramai peguam muda yang menjadi generasi pelapis karier ini bagi masa depan," tambahnya.

Menurutnya, persidangan itu diadakan sejak 2019 secara fizikal sebelum ia dilakukan secara dalam talian atau 'online' pada 2022 ekoran penularan pandemik Covid-19.

"Tahun ini kita mulakan semula persidangan ini secara fizikal dan perasmian pembukaannya telah disempurnakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

"Pelbagai perkara dibincangkan sepanjang persidangan ini yang memberi manfaat kepada semua peguam yang terlibat," katanya lagi.