SKUAD skuasy wanita kebangsaan mempamerkan satu lagi aksi cemerlang mereka untuk merampas semula pingat emas Sukan Asia acara wanita berpasukan, dengan menewaskan juara bertahan Hong Kong 2-1 pada perlawanan akhir.
Namun pada awalnya Hong Kong kelihatannya akan dapat mempertahankan pingat emas mereka itu, selepas mendapat mata pertama menerusi perlawanan di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, hari ini.
Rachel Arnold yang berkedudukan ke-32 dunia, memberikan cabaran sengit hampir 50 minit kepada Tong Tsz Wing sebelum tewas 11-7, 7-11, 11-8, 8-11, 6-11.
Bagaimanapun pemain ke-36 dunia S Sivasangari, berjaya menguasai perlawanan kedua dengan menewaskan Ho Tze Lok 11-5, 11-8, 11-6, sekali gus menyamakan kedudukan.
Aifa Azman yang diturunkan dalam perlawanan penentuan, kemudiannya berjaya menewaskan Chan Sin Yuk 11-5, 11-8, 11-13, 11-8, sekali gus memberikan emas ketiga Malaysia di Sukan Asia.
Skuad wanita negara layak ke akhir selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 pada peringkat separuh akhir pada Jumaat.
Pada edisi Guangzhou 2010, Malaysia yang ketika itu dipimpin Datuk Nicol David, memenangi pingat emas acara berpasukan yang mula diperkenalkan dan sekali lagi di Incheon 2014, namun hanya memenangi gangsa di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, selepas tewas kepada India di separuh akhir.
Kemenangan itu juga memberikan Malaysia pingat emas ketiganya di Sukan Asia Hangzhou, yang kini sedang berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Oktober.
Bagaimanapun skuad berpasukan lelaki gagal mengekalkan pingat emas yang mereka menang pada edisi lepas, apabila tewas kepada India pada separuh akhir, malam tadi dan akur untuk hanya membawa pulang pingat gangsa pada temasya kali ini. - Bernama