KKDW kenal pasti tanah di Kota Belud, Sri Aman bagi tanaman padi

Iklan
Rubiah (dua dari kanan) melihat tanaman sayur ketika mengadakan lawatan di Taman Agroteknologi Pertanian Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) pada Sabtu. - Foto: Bernama

TASEK GELUGOR - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang menjalankan penilaian tanah di Kota Belud, Sabah dan Sri Aman, Sarawak yang dijangka sesuai bagi projek penanaman padi.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, usaha berkenaan diharap membantu mempertingkatkan sektor agromakanan tempatan.

Iklan
Iklan

"Kita (KKDW) kini di peringkat pra, maksudnya dalam usaha penilaian tanah dan kenal pasti peserta yang akan terlibat dalam pembangunan tanaman padi ini.

Iklan

"Selain itu, kita turut dimohon untuk menyegerakan banyak lagi tindakan dalam usaha mempertingkatkan kawasan penanaman padi sekali gus menambah pengeluaran beras negara,” katanya pada sidang media selepas melawat Perda Food Valley di sini hari ini.

Mengenai lawatan hari ini, Rubiah berkata, pendekatan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Jabatan Pertanian iaitu kaedah sewaan tanah Perda kepada usahawan tani perlu dikembangkan kepada agensi kerajaan lain dalam usaha mengukuhkan aspek sekuriti makanan dalam negara.

Iklan

Beliau berkata, setakat ini seramai 130 peserta dan syarikat telah menyewa tanah Perda untuk tujuan pertanian pada kadar sewaan RM50 hingga RM150 seekar sebulan.

"Pendekatan ini perlu dikembangkan kepada agensi KKDW yang lain sebab ia lebih berfokus, boleh membantu usahawan tani dari segi meningkatkan pendapatan dan pada masa sama menyumbang kepada pengeluaran makanan negara.

"Ini merupakan satu daripada usaha untuk menggalakkan ladang ditadbir secara komersial dengan hasil yang optimum kerana format pembangunan yang bagus memandangkan Jabatan Pertanian menyediakan keperluan ladang dari sudut infrastruktur manakala pengurusan ladang dilaksanakan peserta sendiri," katanya.

Beliau berkata kawasan pertanian di Perda Food Valley berkeluasan 428 hektar, dengan 137 hektar diusahakan melalui pendekatan sewaan kepada usahawan tani, 120 hektar diusahakan oleh anak syarikat Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd manakala 169 hektar diuruskan oleh Perda sendiri.

Katanya, pengeluaran hasil daripada Perda Food Valley mencecah 4,201 tan metrik bersamaan RM6.352 juta setakat Ogos 2023. - Bernama