Pemain muda Terengganu beri 100 peratus komitmen - Steinbruckner

Iklan
Pemain muda TFC, Muhammad Syahmi Zamri (kiri) diasak pemain Selangor, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner enggan menuding jari menyalahkan pemain skuad Penyu selepas dibelasah 4-0 oleh Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

Sebaliknya, pengendali berusia 56 tahun dari Croatia itu berpuas hati dengan prestasi pemain muda yang telah memberikan 100 peratus komitmen pada perlawanan tersebut walaupun gagal mengutip tiga mata di laman sendiri.

Iklan
Iklan

Jelas Steinbruckner, biarpun mengetahui berisiko, dia terpaksa menurunkan ramai pemain muda memandangkan beberapa tonggak utama skuad Penyu dibelenggu kecederaan berikutan jadual perlawanan yang sangat padat.

"Hari ini (malam tadi) tiga atau empat pemain bukan daripada kebiasaan barisan kesebelasan utama kami seperti sebelum ini.

Iklan

"Namun saya terpaksa menukar beberapa pemain kerana kita tidak boleh beraksi dengan pemain yang sama untuk setiap perlawanan kerana masalah kecederaan,” katanya selepas perlawanan menentang Selangor pada Jumaat.

Kekalahan empat gol itu juga sekali gus meleburkan rekod 12 perlawanan tanpa kalah Terengganu dalam saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Konfederasi Asia (AFC).

Iklan

Dalam perlawanan berintensiti tinggi itu, gol The Red Giants kendalian Tan Cheng Hoe diledakkan Yohandry Orozco (m-26, 41), Faisal Abdul Halim (m-52) dan Aliff Izwan Yuslan (m-81).

Anak buah Cheng Hoe sebelum ini tewas 1-3 secara agregat dalam saingan suku akhir Piala Malaysia kepada skuad Penyu asuhan Steinbruckner berkenaan.