Polis Johor tahan 198 individu terlibat judi dalam talian

Iklan
Seramai 198 individu ditahan dipercayai terlibat aktiviti perjudian dalam talian. - Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan 198 individu dipercayai terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian hasil serbuan di 117 premis di seluruh negeri dalam Op Dadu Khas pada 22 hingga 29 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 66 tahun.

Iklan
Iklan

"Sepanjang operasi itu dijalankan sejak 22 September lalu, seramai 198 individu telah ditahan melibatkan 174 warga tempatan dan 24 warga asing dengan pecahan 162 lelaki dan 36 wanita.

"Kesemua tangkapan dibawa ke mahkamah untuk permohonan tahanan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(A)(a) dan 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Iklan

"Selain itu, polis turut merampas 208 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 76 pencetak mudah alih dan wang tunai berjumlah RM39,123,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, kesemua premis yang diserbu kini dalam proses pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik.

Iklan

Katanya, polis juga menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mengambil tindakan (melakukan pemotongan) tersebut.

"Secara keseluruhannya, Op Dadu bertujuan membanteras kegiatan judi haram selain meningkatkan keyakinan kepada masyarakat dengan usaha-usaha diambil polis dalam membanteras gejala berkenaan.

"Oleh itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tersebut boleh menghubungi bilik gerakan polis Johor menerusi talian 07-2212999 atau 07-225 4677,” katanya.