Peruntukan hampir RM50 juta rancakan ekonomi kecil sederhana

Iklan
Wan Rosdy (kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Sentuhan Kasih Desa Pelangai Mini Ekspo Pendidikan dan TVET, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Keusahawanan Desa di Dataran Simpang Pelangai pada Sabtu.

BENTONG - Kerajaan Pahang memperuntukkan hampir RM50 juta dalam merancakkan ekonomi kecil dan sederhana sekali gus menjadikan bidang keusahawanan dapat berkembang dengan positif serta berdaya saing.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi tujuan itu inisiatif khusus diperkenalkan merangkumi penyediaan tapak, skim pembiayaan, pensijilan halal dan bantuan khidmat nasihat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara mewujudkan Projek Pembinaan Usahawan di Taman Teknologi Pahang, Gambang dengan peruntukan sebanyak RM3.4 juta.

"Dalam aspek pensijilan halal pula, satu dana secara 'revolving fund' berjumlah RM10 juta turut disediakan. Ini membantu mereka yang layak untuk mengembangkan skop pasaran sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap kualiti dan kesucian produk perniagaan mereka. Tapi, jumlah ini akan dinaikkan kepada RM15 juta mulai tahun depan." katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Desa Pelangai Mini Ekspo Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Keusahawan Desa di Dataran Simpang Pelangai, di sini pada Sabtu.

Wan Rosdy memaklumkan sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menyediakan kursus percuma perniagaan secara dalam talian kepada golongan muda yang menjadi agen 'dropship'.

Iklan

Tambahnya, dengan rangkaian inisiatif ini kerajaan negeri berupaya menyediakan satu ekosistem yang merangsang dan menyokong pengembangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan keusahawanan mikro.

"Usahawan yang kita bantu ini diharapkan dapat mengorak langkah menjadi usahawan yang lebih berjaya bukan sahaja di peringkat lokal, tetapi juga dapat berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa," jelasnya.

Beliau juga mahu golongan belia terutamanya di kawasan luar bandar pula diberi peluang untuk menyertai program-program latihan kemahiran dalam pelbagai TVET.

Difahamkan, Pahang mempunyai dua institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri yang menyediakan latihan kemahiran TVET iaitu Pahang Skill Development Centre (PSDC) dan Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills.