Usahawan luar bandar disaran kuasai kemahiran digital - Rubiah
Iklan
Rubiah - Foto: Bernama
TASEK GELUGOR - Usahawan luar bandar disarankan menguasai kemahiran digital untuk menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif dan kelangsungan perniagaan mereka, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Iklan
Iklan
Kementeriannya berharap langkah itu akan berupaya merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, seterusnya membantu usahawan luar bandar untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan serta sebagai persediaan menjalankan perniagaan secara dalam talian selaras dengan situasi ekonomi semasa.
"Walaupun kini pemasaran secara digital adalah norma baharu dalam perniagaan, memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi dan kemahiran, mungkin tidak memberikan impak berkesan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (EXPERT) 2023 malam tadi.
Iklan
Program yang berlangsung selama empat hari bermula 28 September hingga 1 Oktober di Midtown Perda, Kubang Menerong di sini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyediakan pelbagai kursus dan bimbingan digital menerusi Program Pendigitalan Usahawan Desa dalam membantu usahawan luar bandar memasarkan dan menambah baik kualiti produk sebagai persediaan memulakan perniagaan dalam talian.
Iklan
Langkah ini termasuk menyediakan platform DesaMall@KKDW sejak 2017 untuk memasarkan produk usahawan luar bandar secara dalam talian menerusi platform e-dagang.
Katanya lagi, langkah berkenaan juga adalah sebagai pendorong anjakan paradigma kepada usahawan untuk beralih daripada perniagaan secara tradisional kepada memasarkan produk secara dalam talian menerusi platform digital, seterusnya merakyatkan ekonomi digital.
"KKDW juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta bagi Program Pendigitalan Usahawan dengan menyasarkan seramai 1,000 usahawan mendigitalkan perniagaan pada tahun ini. Setakat ini, berdasarkan rekod kami sebanyak 2,472 syarikat telah berjaya didigitalkan," katanya.
Sementara itu, Rubiah berkata EXPERT 2023 yang memasuki tahun kedua penganjuran menyasarkan nilai jualan dan perolehan kontrak sebanyak RM1.5 juta.
Platform itu memberi ruang menyeluruh kepada usahawan yang telah menjalankan perniagaan mahupun yang baru menceburi bidang keusahawanan untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka, katanya.
Beliau berkata, ini juga selaras dengan objektif Perda dan KKDW untuk membantu usahawan luar bandar memperkenalkan dan mempromosi perkhidmatan syarikat di samping membolehkan mereka menyertai aktiviti pemadanan perniagaan bagi meningkatkan pendapatan.
"Pada penganjuran tahun lepas, jualan dan kontrak bernilai RM1.2 juta telah berjaya diraih dan kita berharap kali ini dapat mencapai sasaran RM1.5 juta dengan sasaran kehadiran lebih 70,000 pengunjung sepanjang empat hari program," katanya.
EXPERT 2023 menampilkan 250 reruai pameran meliputi reruai jualan produk dan perkhidmatan usahawan serta pelbagai agensi, sektor korporat, kerjaya selain pameran mesin dan peralatan. - Bernama
Pengalaman berdepan situasi cemas di tengah laut termasuk menyelamatkan beberapa mangsa tragedi bot karam baru-baru ini membuatkan Pencipta kandungan atau YouTuber dikenali sebagai Mohd Khushairi Mohd Zuki lebih menitik beratkan soal keselamatan setiap kali turun memancing, lapor wartawan Sinar Harian, Mohd Iskandar Othman.
Berkongsi pengalaman bersama rakan menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia yang terapung selama empat hari di tengah laut berhampiran Pulau Jarak pada Rabu lalu, Mohd Khushairi berkata, mereka bernasib baik kerana dapat berpaut pada tong ikan dan botol yang diikat pada badan masing-masing.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/698041/edisi/utara/youtuber-kongsi-pengalaman-selamatkan-empat-mangsa-bot-karam