Gandingan baharu Muhammad Syafiq-Tze Liang raih gangsa kedua kem terjun

Iklan
Muhammad Syafiq (kiri) dan Tze Liang berjaya meraih pingat gangsa kedua buat kem terjun negara di Arena Sukan Akuatik, Pusat Sukan Olimpik Hangzhou. - Foto: Bernama

KEM terjun negara menambah koleksi pingat gangsa menerusi gandingan Muhammad Syafiq Puteh-Ooi Tze Liang dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di sini, malam ini.

Lebih membanggakan, kejayaan itu membolehkan pasangan negara menaiki semula podium dalam acara itu selepas gandingan Tze Liang-Chew Yi Wei menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Iklan
Iklan

Pada saingan final di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou di sini, Muhammad Syafiq-Tze Liang yang baharu digandingkan berada di kedudukan keempat sehingga terjunan ketiga dengan mengumpul 163.50 mata.

Namun kesilapan wakil Jepun pada terjunan keempat membolehkan pasangan negara memintas sebelum mempertahankan kedudukan ketiga untuk mengesahkan gangsa dengan mengumpul keseluruhan 380.22 mata selepas enam terjunan.

Iklan

Emas menjadi milik gandingan tuan rumah Yan Siyu-He Chao yang ternyata berada dalam kelas tersendiri untuk meraih 422.55 mata sementara wakil Korea Selatan Yi Jaegyeong-Woo Haram membawa pulang perak dengan catatan 393.00 mata.

Sebagai rekod, Malaysia meraih perak dalam acara itu dalam tiga edisi berturut-turut sejak 2006 di Doha, Qatar menerusi Rossharisham Roslan-Yeoh Ken Nee diikuti edisi 2010 di Guangzhou, China (Bryan Nickson-Ken Nee) dan 2014 di Incheon, Korea Selatan (Ahmad Amsyar Azman-Tze Liang).

Iklan

Pingat perak merupakan pencapaian terbaik Malaysia selepas China menguasai acara itu sejak ia dipertandingkan bermula edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

Muhammad Syafiq dan Tze Liang masing-masing akan meneruskan cabaran dalam acara 3m papan anjal lelaki yang dijadualkan bermula Selasa ini (3 Okt).

Sebelum itu, gandingan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri menghadiahkan pingat sulung kem terjun negara selepas merangkul gangsa dalam acara 10m platform seirama wanita. - Bernama