ATLET terjun negara, Muhammad Syafiq Puteh menghargai sokongan yang diberikan keluarga tercinta dan rakan seperjuangan Ooi Tze Liang selepas memenangi pingat sulungnya di temasya Sukan Asia di sini, malam ini.
Penerjun berusia 27 tahun itu berkata, peranan yang dimainkan mereka telah membantunya mengharungi saat sukar selepas mengalami demam yang menjejaskan prestasinya menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022.
Menurut Muhammad Syafiq demam yang dialami kira-kira tiga minggu sebelum temasya sukan berkenaan turut menjejaskan moralnya untuk berlatih.
"Titik perubahan saya bangkit juga sebab saya fikirkan isteri dan anak saya di Malaysia, itu buat saya terus berusaha,” katanya ketika ditemui selepas final 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki di Arena Sukan Akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, di sini.
Muhammad Syafiq-Tze Liang menamatkan saingan di posisi ketiga sekali gus menyumbang gangsa kedua kem terjun selepas terdahulu gandingan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri meraih gangsa dalam acara 10m platform seirama wanita.
Sementara itu, Tze Liang berpuas hati dengan pencapaian gangsa disebalik cabaran yang perlu ditempuhi bersama Muhammad Syafiq.
"Pencapaian ini kira konsisten bagi kita, tahap kesukaran tak tinggi, kita guna taktik lain untuk tahap kesukaran yang rendah, jadi kita bersyukur sudah lakukan terbaik untuk Malaysia,” kata atlet berusia 29 tahun itu.
Sebelum ini, Tze Liang pernah menghadiahkan perak dalam acara itu ketika bergandingan bersama Ahmad Amsyar Azman pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, namun menduduki tempat keempat ketika berpasangan dengan Chew Yiwei pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.
Muhammad Syafiq dan Tze Liang masing-masing akan meneruskan cabaran dalam acara 3m papan anjal lelaki yang dijadualkan bermula Selasa ini (3 Oktober). - Bernama