PUTRAJAYA - Perdana Menter,i Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu aktiviti seni dan budaya di Malaysia diperkasakan seiring kemajuan ekonomi, dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memainkan peranan penting untuk memartabatkan aktiviti berkenaan.
"Sebab itu penting peranan MOTAC dan program yang boleh memartabatkan aktiviti seni, lukisan, puisi, filem dan teater; pementasan serta tarian.
"Tak banyak negara di dunia boleh pamerkan seni budaya dengan Melayu sebagai terasnya, suku kaum yang lain dari Perlis sampai Sabah,” katanya ketika merasmikan Festival Budaya Putrajaya 2023 pada Sabtu malam.
Anwar berkata, masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu menjadikan perbezaan sebagai kekuatan bukannya menjadikan ia sebagai faktor persengketaan.
Menyifatkan sektor pelancongan sebagai bidang yang menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi tumpuan khusus dari segi peruntukan dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.
"Maka MOTAC harus percaya tentunya kita (kerajaan) akan beri pemusatan terhadap industri pelancongan termasuk pemerkasaan industri seni dan budaya,” katanya yang turut memuji dan menghargai usaha MOTAC atas inisiatif penganjuran Festival Budaya Putrajaya 2023 yang julung kali diadakan.
Bagi mencapai hasrat memperkasakan aktiviti seni dan budaya, Anwar turut mencadangkan agar Festival Budaya Putrajaya dijadikan sebagai acara tahunan dalam kalendar MOTAC.
Festival Budaya Putrajaya 2023 yang bermula 28 September hingga Ahad (1 Oktober), dianjurkan MOTAC dengan kerjasama rakan strategik iaitu Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Istana Budaya yang bermatlamat mendekatkan masyarakat umum dan antarabangsa dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia serta mempromosi pelbagai produk pelancongan yang terdapat di negara ini.
Bertemakan"Perpaduan Melalui Seni Budaya”, program ini juga bertujuan mengukuhkan semangat untuk hidup dalam harmoni dan semangat perpaduan melalui seni, budaya dan warisan.
Antara pengisian menarik yang diatur sepanjang empat hari program ialah"Putrajaya Culture Fun Run & Gathering” yang menampilkan acara larian lima kilometer dengan berpakaian tradisional, persembahan pentas bercirikan tradisional dengan suntikan semangat kemerdekaan, penjagaan seni, demonstrasi makanan warisan, penjualan produk kraf dan pertandingan serta kuiz seni budaya dan pelancongan. - Bernama