Binaan purba di Bukit Choras bukan penemuan baharu

Iklan
Dr Ibrahim Bakar (Gambar kecil: Laporan 22 September 2023)

ALOR SETAR - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menyambut baik kajian semula situs (tapak) arkeologi abad ke 7 hingga 8 di puncak Bukit Choras, Yan, baru-baru ini.

Pengerusi PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan kajian binaan purba di puncak Bukit Choras ini diketuai Dr Nasha Roziadi Khaw.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, penemuan struktur bangunan purba di puncak Bukit Choras,Yan pada baru-baru ini bukanlah satu penemuan baharu.

"Situs bangunan purba itu sebenarnya telah diketahui oleh masyarakat tempatan sejak lama. Tapak itu pernah didatangi pengkaji Dr Quaritch-Wales sekitar tahun 1939, malah ditandai beliau sebagai Situs 1 daripada lebih 30 situs purba dikajinya dalam kawasan sekitar Lembah Bujang.

Iklan

"Bagaimanapun, setelah Dr Quaritch-Wales meninggalkan situs-situs kajiannya, sesetengah situs yang dilakukan ekskavasi meluas telah mengalami kerosakan teruk disebabkan terdedah kepada hujan dan panas sepanjang musim serta tumbuh-tumbuhan liar," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dr Ibrahim menambah, kebanyakan situs-situs didedahkan Dr Quaritch-Wales melalui ekskavasinya telah hancur dan hilang akibat luluhawa.

Iklan

"Nasib baik Situs 1 di puncak Bukit Choras hanya ‘disentuh’ sedikit sahaja oleh Dr Quaritch-Wales, sekali gus sebahagian besarnya masih berada ‘terpelihara’ di bawah tanah," katanya.

Disebabkan itu beliau berkata, masyarakat dan kerajaan Kedah patut berbangga dan berterima kasih sekali gus menghulurkan bantuan sewajarnya atas langkah penting diambil pasukan pakar arkeologi dari USM itu.

Menurut beliau, tapak zaman gabungan kerajaan Kedah dengan empayar Sriwijaya itu boleh menggamit pelawat-pelawat ke kawasan ini, sekaligus menggalakkan kemajuan ekonomi pelancongan masyarakat setempat.

"Antara isu lain, apakah sebenarnya bangunan purba yang terletak atas tapak di puncak Bukit Choras ini? Laporan-laporan sebelum ini menyebut ia sebagai ‘candi’.

"Setakat ini, masyarakat tempatan memahami bahawa ‘candi’ adalah suatu tempat ibadat bagi penganut-penganut agama bukan Islam namun beberapa arca Buddha dan prasasti bertulisan Pallawa telah ditemui di Bukit Choras," katanya.

Disebabkan itu, beliau berpandangan, arca-arca Buddha yang ditemui itu belum cukup dijadikan bukti bagi membolehkan bangunan purba ini dianggap sebagai suatu tempat ibadat lama.

"Paling dekat, ia hanya boleh dianggap sebagai milik masyarakat tempatan yang mengamalkan agama Buddha ketika itu," katanya.

Pandangan itu disuarakan Dr Ibrahim memandangkan penamaan binaan purba di Bukit Choras sebagai ‘candi’ sebenarnya boleh mengundang beberapa masalah.

"Perkara pertama perlu diketahui, Jabatan Mufti Negeri Kedah pernah mengeluarkan fatwa supaya sebarang bangunan bertujuan sembahan dalam agama selain Islam tidak dibenarkan dibangunkan semula,sebaliknya ia hendaklah dibiarkan seperti seadanya, tetapi ia tidak perlu dimusnahkan.

"Perkara kedua, apabila ia disebut sebagai ‘candi’ yakni tempat sembahan agama seperti Hindu atau Buddha, maka sebahagian kaum tertentu di Malaysia akan mendakwa bahawa tapak itu telah dibina oleh moyang mereka, walhal sebenarnya jelas ia dibina oleh masyarakat tempatan Kedah yang belum mengamalkan Islam ketika itu," katanya.

Dr Ibrahim berkata, isu ini boleh menimbulkan perbincangan-perbincangan kasar, malah pertelingkahan, antara kaum kalau kita tidak hati-hati.

"Maka sebaiknya, bangunan lama ini elok diisytiharkan sebagai ‘bangunan purba’ sahaja dan bukan ‘candi’ kerana ia pun memang tidak terbukti sebagai suatu tempat sembahan masyarakat apa-apa agama tertentu.

"Mungkin ia pun hanya suatu bangunan pentadbiran dan pengawalan untuk menjaga kawasan utara kerajaan Sriwijaya, atau istana singgahan raja tertentu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Ibrahim berkata, selain terdedah kepada cuaca, tapak itu dikhuatiri akan terdedah pula pada kesan gangguan manusia apabila binaan purba didedahkan kepada umum.

"Ada orang awam yang dikhuatiri pergi di kawasan tapak untuk mencuri ketul batu untuk membuat tangkal azimat.Sekiranya, ramai melawat mungkin ada memegang binaan purba itu atau ada kawasan dipijak," katanya.

Beliau menambah, semakin ramai orang luar melawat kawasan terbabit, maka semakin banyak kerosakan atau gangguan di kawasan itu.

Justeru, kata Dr Ibrahim, pihak berkaitan perlu segera memikirkan kaedah untuk menjaga tapak arkeologi di Bukit Choras sejak dari awal.

Pada 22 September lepas, Sinar Harian melaporkan Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama PPAG USM berjaya menemui dua buah arca Buddha hampir lengkap dengan prasasti.

Pensyarah Kanan PPAG, Dr Nasha Rodzaidi Khaw berkata, penemuan itu berlaku semasa kerja-kerja penyelidikan di Tapak Arkeologi Bukit Choras yang bermula pada 28 Ogos hingga 12 September lalu.