SHAH ALAM - Kerajaan diminta memperuntukkan sekurang-kurangnya RM500 juta termasuk pemberian e-dompet kepada penjaja dan peniaga dalam Belanjawan 2024 bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta boleh digunakan untuk menambah baik medan selera.
Menurutnya, ini kerana kerja-kerja penyelenggaraan medan selera di bandar tidak mencapai 100 peratus apabila kerajaan hanya peruntukkan RM50 juta ketika Bajet tahun lalu.
"Lagi RM180 juta (Belanjawan 2024) boleh dimasukkan ke dalam e-dompet untuk menggalakkan mereka menggunakan Kad Prihatin Penjaja dan Peniaga.
"Sejumlah RM190 juta pula sebagai pinjaman RM5,000 kepada setiap peniaga dengan kadar faedah rendah yang dapat memberi manfaat kepada 38,000 peniaga seluruh negara.
"Lebihan peruntukan boleh diguna sebagai pemberian geran,” katanya kepada Sinar Ahad.
Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan Belanjawan 2024 akan memberi lebih tumpuan kepada sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi memperkasa sektor berkenaan supaya dapat bersaing dalam ekonomi baharu.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Oktober ini bersandarkan kerangka Madani dengan memberi fokus kepada nilai pembangunan serta pekerjaan dalam sektor PMKS.
Sehubungan itu, Rosli meminta kerajaan memperluaskan penyediaan latihan kepada perniagaan yang mempunyai daya saing seperti kursus pengurusan kewangan dan pengembangan perniagaan.
Tambahnya, kerajaan perlu membantu golongan penjaja dan peniaga mengurangkan kadar pembayaran kos sewa kedai yang tinggi terpaksa ditanggung mereka.
"Baru-baru ini, saya ada buat lawatan ke kawasan pusat peniaga dan pasar raya, didapati mereka ini sebenarnya sudah tidak tahan kerana hasil jualan yang sedikit namun terpaksa menanggung kos sewa tinggi.
"Apabila saya tanya, mereka jawab mahu mendapatkan RM200 sehari cukup susah sedangkan bayaran kadar sewa hampir mencecah RM3,000 sebulan.
"Ini kerana pengunjung yang semakin berkurang disebabkan kos sara hidup.
"Sewa lebih kurang RM2,600 dan insurans RM35 sebulan. Ini tidak termasuk bayaran tahunan lesen dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.