KUALA NERUS - Seorang wanita cedera dipercayai akibat ditikam menggunakan senjata tajam pada bahagian belakang badan dalam kejadian di sebuah premis dobi layan diri di Seberang Takir di sini.
Insiden berlaku pada petang Sabtu itu menyebabkan wanita berusia 31 berkenaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi mendapatkan rawatan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kes itu dalam siasatan.
"Setakat ini mangsa hanya ditikam dan siasatan masih dijalankan sama ada ada turut melibatkan kes samun atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi pemberita malam Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna dobi layan diri berhati-hati semasa mengunakan perkhidmatan berkenaan terutama pada waktu malam.
"Pemilik premis dobi layan diri dinasihatkan supaya meningkatkan aspek keselamatan di premis masing-masing," katanya.