'Harap mereka kekal sarung jersi Malaysia'

Iklan
Barisan pelumba negara berjaya mempamerkan prestasi mengagumkan pada LTdL 2023. (Gambar kecil: Mohd Yusof Nasir)

PASUKAN kebangsaan Malaysia telah membuktikan betapa mereka bukan sekadar pelengkap apabila tampil pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang berakhir pada Sabtu.

Prestasi membanggakan sepanjang lapan peringkat perlumbaan bermula pada Sabtu lalu, memperlihatkan keenam-enam pelumba negara memiliki kayuhan setanding dengan barisan jaguh dunia lain.

Iklan
Iklan

Buktinya, anak-anak buah Mohd Yusof Nasir itu berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan terbaik Asia dan menduduki tangga ke-14 keseluruhan daripada 22 pasukan bertanding.

Malah, pelumba muda, Muhammad Nur Aiman Rosli mencipta sensasi apabila berjaya menyarung Jersi Putih (Terbaik Asia) pada Peringkat 3 dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah.

Iklan

Terdahulu, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil menduduki tempat keempat pada Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu, sekali gus Malaysia muncul pasukan terbaik keseluruhan dan Asia bagi peringkat itu.

Pada Sabtu, Izzat Hilmi sekali lagi menampilkan henjutan memukau apabila menduduki tempat kelima Peringkat 8 dari Setia Alam ke Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Iklan

"Jadi secara keseluruhannya, saya cukup berpuas hati dengan prestasi setiap pelumba negara. Mereka membuktikan Malaysia bukan sekadar pasukan pelengkap,” katanya.

Pada LTdL 2023, Malaysia mempertaruhkan empat bekas pelumba Sapura Cycling (TSC) - Muhsin Al Redha Misbah, Nur Aiman, Muhammad Shaiful Adlan Shukri dan Zawawi Azman selaku ketua pasukan.

Malah, kehadiran Izzat Hilmi yang juga pernah menyarung jersi TSC selain pelumba meningkat naik, Zulhelmi Zainal menambahkan lagi kekuatan pasukan kebangsaan Malaysia kali ini.

"Seperti yang saya beritahu sebelum LTdL 2023 bermula, inilah barisan terkuat Malaysia. Mereka masih muda dan mereka antara skuad terbaik yang pernah saya miliki.

"Saya akan cuba berbincang dengan pihak atasan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengenai pasukan kebangsaan.

"Saya harap semua pelumba yang ada sekarang terus menyarung jersi Malaysia. Saya nak bawa perkara ini ke atas untuk cuba mengekalkan pasukan sedia ada," ujarnya.

Pada masa sama, Yusof akur jika ada pasukan profesional lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat pelumbanya memandangkan ketika ini mereka tidak ada program masa panjang.

"Sekiranya ada pasukan profesional yang mahu menyunting mereka, pergilah. Bagi saya itu adalah lebih bagus, daripada kita sedang mengusahakan sesuatu yang tidak pasti.

"Selagi ia dapat memanjangkan karier mereka dan membantu mereka untuk terus meningkatkan prestasi masing-masing, saya tiada masalah," katanya.