JURGEN Klopp membidas 'keputusan gila' yang membawa kepada kekalahan Liverpool 1-2 ketika menentang Tottenham Hotspur pada awal pagi Ahad.
Liverpool kehilangan Curtis Jones dan Diogo Jota yang dilayangkan kad merah manakala gol Luis Diaz tidak disahkan selepas didakwa ofsaid.
Namun, badan pengadil PGMOL mengeluarkan kenyataan kurang sejam selepas wisel penamat dan mengakui gol separuh masa pertama Diaz sepatutnya kekal.
"PGMOL mengakui kesilapan yang ketara berlaku pada separuh masa pertama Tottenham Hotspur menentang Liverpool.
"Gol oleh Luis Diaz dibatalkan kerana ofsaid oleh pegawai perlawanan. Ini adalah kesilapan fakta yang jelas dan sepatutnya gol diberikan melalui campur tangan VAR.
"PGMOL akan menjalankan semakan penuh terhadap perkara ini," kata kenyataan itu.
Son Heung-min meletakkan Tottenham di hadapan sebelum gol penyamaan Cody Gakpo untuk pelawat dan kemudian Jota dilayangkan kad merah kerana dua kesalahan berturut-turut terhadap Destiny Udogie selepas rehat.
"Saya tidak pernah berbangga dengan pasukan berbanding hari ini. Saya tidak pernah melihat perlawanan seperti ini dengan keadaan yang paling tidak adil, keputusan gila.
"Kad merah pertama, Curtis memijak bola dan melepasinya. Bukan terjahan yang teruk.
"Bagi Jota pula, kad kuning pertama bukan kuning. Kemudian, bertahan dengan lapan pemain adalah sangat sukar.
Mengenai gol Diaz, Klopp berkata:"Gol ofsaid. Itu bukan ofsaid apabila anda melihatnya, mereka membuat garisan yang salah.
"Bola berada di antara kaki Salah, mereka membuat garisan yang salah dan tidak menilai saat Salah melepasi bola dengan betul. Ia sangat sukar untuk menanganinya," katanya.