Malaysia tuan rumah AMAF ke-45

Iklan
Poster AMAF 2023

SHAH ALAM – Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 2 hingga 6 Oktober ini.

Mesyuarat itu merupakan kali ketiga Malaysia menjadi tuan rumah selepas AMAF ke-25 dan AMAF ke-35 diadakan masing-masing pada tahun 2003 dan 2013.

Iklan
Iklan

Bertemakan"Growing Together: Advancing Asean Agriculture And Forestry For Sustainable Development", AMAF merupakan platform bagi negara anggota ASEAN membincang serta mengetengahkan isu-isu berkaitan pertanian dan perhutanan di rantau ini.

AMAF ke-45 atau AMAF 2023 akan memberikan fokus kepada terhadap kemampanan sektor pertanian dan perhutanan yang mana kedua-dua sektor itu penting bagi negara-negara anggota mencapai matlamat ASEAN sebagai pusat pasaran serta pengeluar tunggal produk makanan, pertanian dan perhutanan yang berdaya saing serta mampan.

Iklan

Pada masa sama, tumpuan turut diberikan terhadap peranan serta kedudukan ASEAN sebagai ‘bakul makanan dunia’ di samping memelihara keterjaminan makanan di rantau ini selaras pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN pada tahun 2015.

AMAF 2023 akan disertai Negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Iklan

Sementara itu, Timor-Leste turut serta sebagai negara pemerhati termasuk penyertaan Negara ASEAN Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

Pada masa sama, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat menjadikan sektor pertanian, perhutanan serta agromakanan negara lebih mampan, berdaya tahan yang berpandukan kepada teknologi moden bagi mencapai pertumbuhan ekonomi sekali gus memastikan keterjaminan makanan rakyat di Malaysia dan rantau ASEAN.

Kerjasama

Selaras dengan keutamaan kerjasama badan sektoral AMAF serta mesyuarat-mesyuarat lain yang diadakan, perbincangan kali ini akan memfokuskan kepada peningkatan kuantiti dan kualiti pengeluaran yang mampan berasaskan teknologi hijau.

Pada masa sama, usaha meningkatkan fasilitasi perdagangan dalam sektor pertanian dan perhutanan turut diberikan perhatian dalam AMAF 2023. Fasilitasi perdagangan dalam dua sektor tersebut meliputi sanitasi dan fitosanitari, integrasi ekonomi dan akses pasaran, daya tahan terhadap perubahan iklim termasuklah bencana alam dan krisis bagi memastikan keterjaminan makanan di rantau ini.

Malah, mesyuarat AMAF 2023 juga memainkan peranan mempertimbang serta mengesahkan laporan-laporan kumpulan kerja sektoral yang telah dibincang dan dipersetujui di peringkat Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) AMAF.

Selain itu, antara perkara yang dibincangkan turut melibatkan laporan keputusan Mesyuarat-Mesyuarat Peringkat Tertinggi serta hasil Sidang Kemuncak ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN termasuk kemajuan pelaksanaan rangka kerja berkaitan kerjasama ASEAN dalam hal ehwal makanan dan pertanian.

Turut dibentangkan ialah mengenai saranan dan laporan Pengerusi SOM AMAF dengan keutamaan pencapaian ekonomi (PED) yang akan pengerusikan Laos pada tahun 2024.

Alam sekitar, perubahan iklim dan jaminan makanan

Sementara itu, AMAF 2023 bakal menjadi medan pembentangan cadangan bagi memperincikan isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim dunia menerusi mesyuarat dengan Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN.

Perbincangan mengenai kemajuan Simpanan Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) dan Sistem Maklumat Jaminan Makanan ASEAN (AFSIS) turut diadakan bagi memastikan jaminan bekalan makanan di rantau ini berjaya memenuhi matlamat seperti mana yang telah digariskan.

Berkenaan dengan perubahan iklim, AMAF 2023 akan turut meneliti kemajuan pelaksanaan kerjasama negara anggota ASEAN menerusi ASEAN Multi-Sectoral Framework on Climate Change: Agriculture and Forestry Towards Food Security (AFCC). Kemajuan pelaksanaan AFCC itu akan dibentangkan bersama rakan-rakan dialog dan negara-negara maju bagi menangani isu perubahan iklim dunia.

Secara prisipnya, laporan-laporan yang dibentangkan dalam mesyuarat AMAF 2023 bertujuan untuk mendapatkan mandat bagi perkara dasar serta komitmen kerjasama daripada negara anggota ASEAN di peringkat Menteri-Menteri AMAF.

Komitmen itu turut melibatkan perkembangan perlaksanaan aktiviti serta program di bawah rangka kerja sektoral AMAF.

Latar belakang AMAF:

Kerjasama ASEAN dalam sektor pertanian dan makanan bermula seawal tahun 1968 dengan fokus kepada pengeluaran dan pembekalan makanan

Pada tahun 1977, skop kerjasama diperluaskan merangkumi bidang pertanian dan perhutanan.

Ketika ini, bidang khusus kerjasama ASEAN merangkumi sekuriti dan keselamatan makanan, makanan halal, tanaman, ternakan, latihan dan pengembangan pertanian, koperasi pertanian, dan kerjasama bersama dalam skim promosi pertanian juga hasil hutan.

Mesyuarat pertama AMAF diadakan pada tahun 1979 di Filipina.

AMAF merupakan platform untuk menzahirkan komitmen negara anggota ASEAN dalam isu-isu berkaitan pertanian dan perhutanan.

Mesyuarat AMAF dihadiri Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN dari negara Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dan diadakan sekali pada setiap tahun.

Turut serta dalam AMAF ialah Timor-Leste selaku pemerhati dan negara ASEAN Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

Visi AMAF:

Memastikan pertumbuhan yang saksama, mampan dan inklusif

Mengurangkan kemiskinan dan membasmi kelaparan

Memastikan keselamatan makanan, keselamatan makanan dan pemakanan yang lebih baik

Memperdalam integrasi serantau

Meningkatkan akses kepada pasaran global

Meningkatkan daya tahan terhadap, dan menyumbang kepada pengurangan dan penyesuaian perubahan iklim, bencana alam dan kejutan lain.