KUALA LUMPUR - Polis berjaya menahan lima suspek tidak sampai tiga jam selepas mereka disyaki menyerang dan menikam seorang lelaki dalam satu kes samun di sebuah rumah di Lebuhraya Pinggiran, Batu Caves, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.30 malam semasa lelaki yang keseorangan di rumahnya itu didatangi suspek.
Iklan
Iklan
Beliau berkata ketika bergelut dengan salah seorang suspek, lelaki itu ditikam di bahagian badan, manakala barangan peribadi miliknya seperti seutas rantai leher, sebuah telefon bimbit serta kunci kereta dilarikan.
"Lelaki itu kini dalam keadaan stabil di Hospital Selayang, kelima-lima suspek yang dalam lingkungan umur antara 16 dan 22 tahun itu berjaya ditahan di sekitar Raub, Pahang pada kira-kira jam 11 malam, dan akan direman di Mahkamah Majistret Selayang esok (hari ini),” katanya dan menambah barangan yang disamun juga berjaya ditemui semula.
Samsor berkata, polis percaya motif kejadian disebabkan masalah hutang antara lelaki itu dan salah seorang suspek, dan menurutnya kes sedang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika samun.- Bernama
Artikel Berkaitan