BENTONG - [DIKEMAS KINI] Tiada tekanan dan paksaan diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan rombakan kabinet, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Tanpa mengiayakan atau menafikan berkenaan desas-desus nama beliau termasuk dalam barisan kabinet baharu Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, perkara tersebut adalah hak mutlak Anwar.
"Dalam politik ni mana ada pinang-pinang (tawaran menyertai kabinet). Politik ni apabila dia (Anwar) jadi PM (Perdana Menteri) dia akan susun dia punya barisan dan pasukan.
"Macam main bola lah. Dia tak boleh main seorang-seorang dia kena ada pasukan...begitu juga kerajaan, kena ada pasukan dan masing-masing ada kepakaran. Tapi kena ambil masa menyesuaikan daripada segi perjalanan kerajaan.
"Sebab itu tidak ada paksaan dan kita juga tidak boleh paksa Perdana Menteri untuk buat apa yang dia memikirkan lebih baik kepada negara," katanya ditemui ketika melawat Kampung Orang Asli Sungai Gapoi, di sini pada Ahad.
Terdapat ura-ura Anwar bakal melakukan rombakan kabinet seiring dengan keperluan untuk melantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memegang jawatan tersebut sebelum ini.
Nama Johari antara yang disebut-sebut untuk jawatan Menteri Kewangan II sekiranya berlaku rombakan jawatan melibatkan jemaah menteri.
Anwar pada Jumaat memberitahu, beliau terfikir mengenai rombakan kabinet namun ia tidak terlalu mendesak.
Dalam pada itu, Johari yang juga Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers) berkata, tidak wajar memberikan sebarang tekanan kepada Anwar memandangkan Kerajaan Perpaduan baru ditubuhkan 10 bulan.
"Dalam 10 bulan kita berdepan dengan ekonomi global yang besar, kemudian kita juga berdepan dengan cara untuk menyesuaikan bekerja dengan parti-parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan.
"Saya rasa kalau bagi masa yang secukupnya hingga tahun 2027 saya ingat kita akan nampak dan boleh menilai keberkesanan Kerajaan Perpaduan mentadbir negara," katanya.