KUALA LUMPUR - Stok beras putih tempatan di pasaran kembali stabil pada minggu ini berbanding minggu lepas, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Beliau berkata, keadaan positif itu berikutan kurangnya pembelian panik oleh pengguna dan peniaga.
"Saya mendapati di pusat operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengedarkan sebanyak 400 tan metrik sebulan beras tempatan dan tambahan 1,100 tan metrik lagi bagi agihan melalui semua jaringan FAMA bagi menampung keperluan,” katanya.
Foong Hin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Rabies Sedunia 2023 di sini pada Ahad.
Ditanya mengenai kemungkinan ‘tangan ghaib’ yang mengambil kesempatan dalam isu kekurangan beras putih tempatan, beliau menegaskan isu berkenaan tidak perlu dipolitikkan dan menerusi ratusan operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati tiada sebarang kesalahan dan penyelewengan berlaku.
"Kita sepatutnya mencurahkan tenaga untuk isu yang lebih spesifik seperti isu logistik, pengagihan dan stok beras tempatan yang lebih efisien dan efektif,” katanya. - Bernama