BENTONG - Di gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, dua calon sedang rancak ‘berpencak’ bagi meraih sokongan pengundi.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yang mempelajari ilmu silat di gelanggang di Pelangai di sini berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, yang juga Pengerusi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK) Pahang.
PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini turut melibatkan seorang calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
Di luar arena politik, gelanggang silat di kawasan DUN Pelangai menyaksikan perkembangan luar biasa berikutan populariti filem Mat Kilau yang mencetus fenomena pada tahun lepas.
Pengerusi PSSGMK Daerah Bentong, Ahmad Tajuddin Othman berkata, silat begitu popular di Pelangai dengan lebih 2,000 pelajar mengikuti kelas yang diadakan pada setiap hujung minggu di lima gelanggang di sini.
Beliau berkata, permintaan daripada penduduk Pelangai untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri itu begitu tinggi sehingga jurulatih tidak menang tangan menyediakan kelas yang mencukupi."Permintaan tinggi sampai ada ibu bapa yang minta ajar secara peribadi macam kelas tuisyen di rumah, tetapi kita memang tak boleh nak terima sebab kita tidak cukup jurulatih.
"Kebanyakan jurulatih kami secara hakiki merupakan penjawat awam. Jadi mereka mempunyai masa yang terhad dan hanya sempat mengajar pada hujung minggu sahaja," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Gelanggang Silat Kampung Chemomoi di sini.
Ahmad Tajuddin, 55, yang mengamalkan seni silat selama 38 tahun mengimpikan supaya setiap kampung di Pelangai dan di daerah Bentong mempunyai sekurang-kurangnya satu gelanggang silat.
"Untuk itu, kami perlu melahirkan lebih ramai jurulatih yang mampu membuka gelanggang sendiri. Kami juga harap kerajaan untuk terus membantu semua pertubuhan silat di seluruh negara kerana kami tidak mempunyai sumber pendapatan yang besar dan perlukan bantuan kewangan," katanya.
Menurutnya, orang Melayu khususnya pemuda perlu mempelajari silat kerana ia merupakan budaya dan warisan negara ini yang perlu dipertahankan selain dapat membentuk sahsiah dan membina keyakinan dalam diri setiap pelajar.Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar silat, Norarisan Ahmad, 45, berkata, beliau menghantar anak lelakinya berusia 12 tahun untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri itu kerana mahu meningkatkan keyakinan dan jati diri anaknya.
"Anak saya dulu seorang yang memang pemalu sampai nak bercampur dengan orang pun rasa segan. Tetapi, Alhamdulilah selepas dia masuk silat, dia menjadi seorang yang lebih matang dan berani," katanya.
Selain itu, katanya latihan silat juga dapat memberikan kecergasan fizikal buat anaknya yang sebelum ini hanya leka bermain permainan video. - Bernama