Azeem masih dibayangi fobia 'false start'

Iklan
Muhammad Azeem Fahmi

SELEPAS melakukan ‘false start’ atau salah mula semasa debut Sukan SEA di Hanoi, Mei lepas, pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi masih belum ‘bebas’ sepenuhnya daripada ketakutan melakukan kesilapan sama dalam kejohanan utama.

Atlet berusia 19 tahun itu, yang menamatkan penantian 41 tahun Malaysia untuk pingat dalam acara 100 meter (m) lelaki dengan meraih gangsa semalam, mengakui beliau masih bimbang akan mengulangi kesilapan itu yang boleh mengakibatkan pelari dikeluarkan daripada perlumbaan.

Iklan
Iklan

Perkara itu memberi kesan kepada reaksinya terhadap bunyi pistol pelepas termasuklah ketika di Stadium Olimpik Hangzhou di sini, apabila beliau mencatatkan antara masa reaksi paling perlahan dalam kalangan pemenang pusingan saringan iaitu 0.178 saat (s) dalam saringan ketiga.

Namun, pelari berpangkalan di Amerika Syarikat itu berjaya menambah baik masa reaksinya dalam separuh akhir kepada 0.147s, manakala pada final beliau mencatatkan masa reaksi 0.149s untuk memenangi gangsa denga 10.11s iaitu menghampiri rekod kebangsaannya 10.09s. Ia juga adalah pingat pertamanya dalam pertandingan antarabangsa.

Iklan

Xie Zhenye dari China, yang mengulangi rekod terbaiknya 9.97s untuk meraih emas, mencatatkan masa reaksi 0.148s, manakala pemenang perak Puripol Boonson dari Thailand (10.02s) dengan masa reaksi 0.162s.

"(False start) itulah sebenarnya benda terbesar yang saya takut. Saya berhati-hati dengan blok permulaan terutamanya di kejohanan besar kerana sensor agak sensitif.

"Sebab itulah saya dan jurulatih (Ken Harnden) usahakan (untuk tangani isu ini) beberapa bulan sebelum ini dan alhamdulillah, masa reaksi dalam final agak memberangsangkan, sedikit sebanyak membantu saya untuk terus kekalkan momentum.

Iklan

"Tetapi macam biasa, kelemahan saya yang seterusnya adalah 20 meter terakhir, yang mana saya tak dapat tahan dan badan sedikit ke depan dan terkeluar sedikit daripada ‘form’. Tak apalah, sekurang-kurangnya kami tahu kami telah berusaha, selepas ini, insya-ALLAH, mahu berusaha untuk layak untuk Olimpik Paris 2024,” katanya.

Menurut laman web World Athletics, salah mula ialah apabila pelari bergerak daripada blok pemula lebih awal daripada 100 millisaat (0.1 saat).

Dalam larian pecut 100m yang kebiasaannya berakhir dalam lingkungan 10 s, iaitu pemenang dan rekod dunia diputuskan dalam kiraan 0.1 saat, melakukan reaksi pantas adalah sangat penting untuk penting untuk memperoleh kedudukan yang lebih selain mencipta rekod baharu.

Malah lelaki terpantas dunia dan pelari pecut terkenal Usain Bolt juga pernah melakukan salah mula dan atlet Jamaica itu dikeluarkan daripada pusingan akhir Kejohanan Dunia Daegu 2011.

Sementara itu, meskipun gagal menjadi pelari terpantas Asia Tenggara seperti diidamkannya selepas menamatkan perlumbaan di belakang Puripol semalam, Muhammad Azeem berkata ia memberi motivasi kepadanya untuk berusaha lebih gigih.

Pencapaian Muhammad Azeem itu menamatkan penantian 41 tahun negara untuk meraih kedudukan podium dalam acara riben biru itu sejak Datuk Rabuan Pit merangkul emas pada edisi 1982 di New Delhi, India. - Bernama