ALOR SETAR - Kakak kepada jururawat yang maut ditikam oleh suaminya di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau pada Sabtu mengharapkan mangsa mendapat keadilan yang sewajarnya.
Kakak mangsa, Melati Abu Bakar, 38, memaafkan perbuatan suspek namun dia mengharapkan hukuman setimpal dapat diberikan agar dapat menjadi pengajaran kepada orang lain.
Menurutnya, mereka sekeluarga juga tidak mengetahui dengan jelas kejadian sebenar yang menimpa anak kelima dari enam beradik tersebut, Munirah Abu Bakar, 31, namun reda dengan ketentuan takdir.
"Memanglah kita rasa sakit sebab mangsa itu adik. Saya minta segala keputusan harap yang terbaik, mana-mana orang pun yang berada dalam situasi ini dia akan mengharapkan keputusan yang betul-betul adil lah.
"Saya maafkan dia (suspek) macam mana pun sebab sepanjang dia bersama adik dia ok sahaja," katanya semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dekat sini pada Ahad.
Jelas Melati, kali terakhir mereka bertemu adalah di rumahnya di Beseri pada Ahad lepas.
Menurutnya, arwah adiknya adalah seorang periang dan sering berkongsi selain meminta pendapat daripadanya jika menghadapi masalah.
"Dengan saya pun dia ada kongsi apa-apa masalah, saya pun kata (jika ada masalah) fikir satu sahaja, fikir anak-anak. Apapun buat keputusan terbaik itu yang saya pesan kepadanya. Sebab fikir anak-anak masih kecil lagi," ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua anak mangsa berusia lapan dan enam tahun ketika Ini masih belum mengetahui ibunya telah meninggal dunia.
Menurutnya, mereka hanya akan memberitahu perkara sebenar apabila jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan kampung halaman mereka di Kampung Paya Tengah di Beseri, Padang Besar selepas selesai urusan bedah siasat di HSB.
"Mereka belum tahu hal sebenar dan kami hanya akan beritahu apabila jenazah dibawa pulang nanti. Anak sulung arwah ada tertanya-tanya juga, Mana mama? Mama tak balik kerja lagi.
"Mereka masih beranggapan mama mereka masih di tempat kerja," katanya lagi.
Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Intan Syafinaz Hashim, 33, pula menyifatkan mangsa adalah seorang yang aktif bersukan dan ringan tulang semasa berada di tempat kerja mereka.
Menurutnya, arwah juga suka membantu rakan-rakan sekerja lain apabila mereka meminta bantuan daripadanya di wad bersalin Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
"Di tempat kerja dia memang bagus dan memang seorang baik. Kalau di wad-wad lain dia pun pergi dan jenis seorang yang peramah. Tempat kerja dia ceria dan tidak nampak ada masalah," katany yang kali terakhir bertemu mangsa pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Mahkamah Majistret Kangar pada Ahad telah membenarkan reman ke atas suspek yang juga suami kepada arwah selama tujuh hari sehingga 7 Oktober bagi membantu siasatan polis.