BENTONG - Gelagat dua ekor kucing kurang upaya, Kiki dan Lala menjadi tarikan buat penduduk di Felda Chemomoi dekat sini yang setia menemani pemiliknya, Abdul Aziz Abdullah, 76, ketika menunggang motosikal setiap hari di rancangan tersebut.
Ragam dua ekor kucing itu antara gelagat yang mencuri perhatian sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini.
Abdul Aziz berkata, Kiki mengalami buta kedua-dua belah matanya dan Lala pula lumpuh akibat patah pinggang selepas dilanggar sebuah kereta beberapa bulan lalu.
"Setiap hari sama ada pagi atau petang, saya akan bawa mereka menunggang motosikal, Lala dalam bakul depan, Kiki pula di belakang saya dan meluangkan masa kira-kira setengah jam," tambah warga emas itu.
Menurutnya, kedua-dua kucing itu kelihatan tenang ketika dibawa menunggang motosikal bersamanya.
"Mereka manja dan langsung tidak bergerak untuk terjun manakala Kiki pula hanya akan turun apabila sampai di depan kedai.
"Saya sendiri sifatkan aktiviti sebegini sebagai terapi dan mengisi masa lapang yang ada selain seronok melayan kerenah mereka," ujarnya.
Tambahnya, sehingga kini sudah puluhan ekor kucing yang pernah dipelihara hasil sikap individu yang tidak bertanggungjawab membuang haiwan terbabit di hadapan premis miliknya.
"Ada tinggal beberapa ekor sahaja kalau di kedai, ada hilang, dicuri bila dah nampak cantik selain kesemuanya jinak dan manja, selain diberikan makanan serta rawatan jika diperlukan.
"Macam Kiki dan Lala sendiri, kerana sudah bebas sejak kecil mereka lebih selesa tinggal di sini (kedai)," jelasnya yang turut bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya pencinta kucing.