SRI Pahang hampir berputih mata sebelum menang 3-2 ketika melayan kunjungan Kuching City dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu.
Malah pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui para pemain Tok Gajah mengulangi kesilapan sama seperti ketika berdepan Kuala Lumpur City sebelum ini.
Iklan
Iklan
Katanya, kawalan longgar terhadap pemain The Cats hampir mengundang bahaya sehingga membolehkan Kuching City memperoleh sepakan percuma bagi menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-15.
"Para pemain Pahang juga tidak mengawal pemain Kuching City dengan baik sehingga membolehkan mereka menjaringkan gol penyamaan dan perkara sama juga berlaku semasa menentang KL City sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan pada Sabtu.
Dalam perlawanan itu, gol Sri Pahang dijaringkan Stefano Brundo pada minit ke-13, Kuvondik Ruziev (m-43) dan penyerang Rafael Da Silva (m-62) manakala gol Kuching City dijelmakan Pedro Henrique (m-16) dan Abu Kamara (m-25).
Dalam pada itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak menyifatkan nasib tidak menyebelahi pasukannya walaupun para pemainnya telah memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan.
"Separuh masa pertama kita bermain dengan baik, namun separuh masa kedua kita membenarkan Pahang menyerang. Apapun kita menerima keputusan ini dan akan melakukan penambahbaikan dalam pasukan,” katanya.