Gagal letup ibu pejabat polis

Iklan
Sebuah kenderaan dipercayai dinaiki dua penyerang kelihatan tersadai di sebatang jalan berhampiran ibu pejabat polis Turkiye di Ankara pada Ahad. - Agensi

ANKARA - Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya mengesahkan pasukan keselamatan negara itu berjaya mematahkan serangan pengganas yang menyasarkan ibu pejabat polis di Ankara.

Menurut Ali, insiden pada Ahad itu menyaksikan seorang penyerang meletupkan dirinya dan seorang lagi rakannya berjaya 'dineutralkan' dalam insiden berbalas tembakan yang turut menyebabkan dua anggota polis cedera.

Iklan
Iklan

Sebelum kejadian, polis mengesan dua individu mencurigakan menghampiri pintu masuk ibu pejabat polis di dalam sebuah kenderaan komersial sekitar jam 9.30 pagi (waktu tempatan).

Difahamkan, lokasi serangan berhampiran kementerian lain dan bangunan Parlimen.

Iklan

Serangan itu berlaku kurang 72 jam selepas insiden letupan di daerah Sirinevlar, Istanbul yang meragut dua nyawa.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab serangan di Ankara, namun pihak berkuasa Turkiye kerap menuduh serangan pengganas di negara itu didalangi Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Iklan

PKK melancarkan pemberontakan terhadap pemerintah Turkiye sejak 1984 dan sebahagian besarnya tertumpu di tenggara negara itu yang kebanyakannya didominasi Kurdish.

Lebih 40,000 orang juga terbunuh dalam konflik itu.

Turkiye, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan PKK sebagai organisasi pengganas. - Agensi