IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyifatkan pembangkang di negeri ini tidak jujur berkaitan isu bantuan kotak makanan Yayasan Perak.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Za'im Sidqi Zulkifli berkata, Yayasan Perak dipertanggungjawabkan untuk menyelaras agihan kotak makanan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.
Menurutnya, bagaimanapun inisiatif itu telah dimanipulasi oleh segelintir ADUN pembangkang bagi tujuan meraih laba politik dengan cara yang tidak beretika dan berintegriti apabila membuat pembungkusan semula serta menampal pelekat logo parti sendiri pada kotak berkenaan.
"ADUN pembangkang seharusnya bersikap jujur, matang dan menghargai usaha dilakukan oleh kerajaan negeri ini kerana ia adalah salah satu cara untuk meringankan beban dan membantu rakyat yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Za'im Sidqi berkata, pihaknya berharap bantuan kotak makanan tersebut dapat disalurkan terus kepada agensi di peringkat daerah atau Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Jelasnya, pendekatan seumpama itu lebih telus dan sampai kepada golongan sasaran malah mengelak pihak tertentu menggunakan bantuan itu demi kepentingan politik.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Mohd Fitri Asmuni berkata, pembangkang tidak wajar untuk menyalahkan kerajaan negeri di sebalik keputusan Yayasan Perak untuk tidak lagi menyalurkan kotak makanan tersebut melalui pusat khidmat ADUN.
Menurutnya, keputusan Yayasan Perak itu disebabkan tindakan beberapa ADUN pembangkang yang menyalahgunakan penyaluran kotak makanan tersebut.
"Ada segelintir ADUN pembangkang yang tidak jujur dan menyalahgunakan pemberian kotak Yayasan Perak tersebut untuk tujuan politik dan parti mereka sendiri walhal kotak tersebut adalah pemberian daripada pihak kerajaan.
"Laporan yang Yayasan Perak terima ada ADUN yang tempek muka mereka di kotak itu dan yang lebih teruk, ada yang ambil makanan dari kotak itu dan guna plastik utk serah bantuan makanan tersebut kepada rakyat untuk menunjukkan kononnya sumbangan itu dari pihak mereka sendiri. Baik ke tak baik macam itu?" katanya kepada Sinar Harian.
Pada Sabtu, Yayasan Perak dalam satu kenyataan memaklumkan menyalurkan bantuan kotak makanan tidak lagi dibuat melalui pusat khidmat ADUN selepas menerima aduan terdapat pihak tertentuk yang membungkus semula serta menampal pelekat tertera logo parti politik.
Pengurus Pentadbiran Yayasan Perak, Mohamad Hidayat Abd Halim berkata, mulai bulan Oktober pihaknya akan mengagihkan terus kotak makanan berkenaan kepada rakyat yang memerlukan dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).